Tidak Mungkin Nora Anne Berjalan Sendiri – Datuk

KUALA LUMPUR – Datuk kepada remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang ditemukan meninggal dunia, kelmarin percaya terdapat seseorang yang meletakkan mayat cucunya di lokasi dia ditemukan.

Laporan The Irish Times mengenai kenyataan Sylvain Quoirin berhubung kematian cucunya, semalam.

Memetik laporan portal The Irish Times, Sylvain Quo­irin yang juga seorang Datuk Bandar di Perancis percaya terdapat unsur-unsur jenayah di sebalik kematian cucunya.

Menurutnya, lokasi mayat cucunya ditemukan itu sudah beberapa kali dicari.

“Dia (Nora Anne) tidak berada di sana sebelum ini dan seseorang telah meletakkan dia di sana dengan tujuan untuk menghilangkannya,” katanya.

Sylvain turut menolak teo­ri yang mengatakan mangsa berada di luar secara sendiri atau dibawa oleh seseorang.

Jelasnya, cucunya juga sentiasa rapat bersama ibu bapa serta adik beradiknya dan seorang yang penakut.

“Bolehkah kamu bayangkan dia berjalan sejauh 2.5 ki­lo­meter dalam keadaan tidak berpakaian dan berkaki ayam di tengah-tengah malam? Bagi saya itu tidak masuk akal,” jelasnya.

Sementara itu, portal Belfast Telegraph melaporkan, peguam kepada keluarga mangsa, Charles Morell yang ditemu bual sebuah radio di Perancis memberitahu, ke­luarga mangsa berpuas hati de­ngan apa yang dilakukan pihak berkuasa Malaysia.

Jelasnya, siasatan terhadap kematian Nora dilakukan secara menyeluruh termasuk melibatkan siasatan jenayah.

“Masih terlalu awal untuk memastikan apa yang terjadi pada Nora dan keluarganya juga sedang mendapatkan lagi maklumat daripada laporan toksikologi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE