Tidak Mungkin Jho Low Di Los Angeles – KPN

GEORGE TOWN – Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador hari ini menolak laporan sebuah akhbar Amerika Syarikat mendakwa ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low, berada di Los Angeles.

Portal hiburan Page Six mendakwa Jho Low baru-baru ini dikesan di sebuah parti makan malam di Hollywood.

Bagaimanapun, Hamid berkata, tidak mungkin Jho Low boleh memasuki AS kerana pemeriksaan sempadan amat ketat.

“Secara logiknya, kawalan sempadan di Amerika, sama ada darat, udara atau laut sangat, sangat ketat.

“Saya tidak mengharapkan Jho Low begitu licik sehingga dia boleh menyelinap masuk ke AS,” katanya di luar sebuah acara di sini, hari ini.

Jika ini berlaku, katanya, ia amat memalukan pihak berkuasa AS.

“Tetapi, saya pasti dia tidak berada di sana.

“Saya rasa dia masih di sana – anda tahu di mana. Tempat yang saya selalu sebut. Dia mendapat perlindungan (di sana).”

Hamid bagaimanapun berkata, beliau “bersabar” ketika berunding dengan “mereka, “berdasarkan semangat kepolisian antarabangsa dan pemburuan pelarian”.

Ditanya Jho Low mungkin berada di mana, beliau berkata: “Dia boleh berada di mana-mana saja. Mungkin Kazakhstan, siapa tahu?”

Katanya, beliau memberi dirinya sehingga akhir tahun ini untuk memburu Jho Low.

Loading...