Tidak Mudah Alih Kesetiaan Pegawai Kerajaan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui bukan mudah mengalihkan kesetiaan pegawai kerajaan daripada kerajaan lama kepada kerajaan yang baharu pada hari ini.

Beliau menjelaskan ini kerana tempoh yang lama ditadbir oleh kerajaan sebelum ini selama 61 tahun hingga ada beranggap kerajaan tidak akan bertukar sampai bila-bila.

Apatah lagi tegas beliau, terdapat juga pegawai kerajaan yang menganggap kerajaan hari ini sebagai musuh mereka sebelum ini.

“Selepas 9 Mei 2018, ramai tidak percaya kepada perubahan yang berlaku kerana tiada pertukaran kerajaan selama 61 tahun.

“Yang memenangi pilih raya pun terkejut kerana perlu mentadbir kerajaan baharu dan pegawai kerajaan sedia ada menjadi serba-salah.

“Ini kerana kerajaan baharu pernah dianggap musuh sebelum ini dan sekarang perlu tukar kesetiaan.

“Malah ada pernah mencemuh dan keluar kata-kata kesat dan kini perlu menerima arahan daripada mereka yang pernah dianggap musuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ketika berucap pada majlis program bersama pegawai kerajaan profesional di sini hari ini.

Lebih 1,000 pegawai kerajaan terdiri daripada peringkat Pengurusan dan Profesional dari Gred 52 hingga JUSA/Khas Dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri hadir pada program itu.

Dr. Mahathir menambah, timbul masalah pentadbiran dalam kerajaan baharu dan masih ada yang berpendapat kerajaan hari ini hanya bertahan untuk satu penggal sahaja.

Jelas beliau, ada yang meramalkan kerajaan selama 61 tahun akan kembali memerintah.

Ujarnya, kesetiaan yang berbelah bahagi tidak menyumbang kepada perjalanan licin dalam pentadbiran kerajaan hari ini.

“Pentadbiran kerajaan yang baik akan menyumbangkan kebaikan kepada negara.

“Kita perlu ingat bahawa mentadbir kerajaan bukan kerana si polan atau kepada parti.

“Mereka hanya menjalankan tugas negara dan kerajaan baharu perlu beri arahan baharu.

“Kalau arahan itu bertentangan, pegawai kerajaan tidak perlu ikut.

“Kalau arahan itu mematuhi undang-undang, kita perlu turuti kerana itu cara negara yang amal demokrasi,” katanya.

Dr. Mahathir menegaskan kejatuhan kerajaan sebelum ini kerana kesilapan mereka sendiri hingga dikenali sebagai kerajaan penyangak.

Kata beliau, sebab itu rakyat menolak mereka dan kalah pada pilihan raya lalu.

“Apakah kerajaan baharu akan jadi penyangak juga? Kalau tidak berjaga mungkin akan terjadi namun sehingga kini belum nampak salah guna kuasa lagi.

“Jentera pentadbiran perlu pegang kepada syarat sama ada kerajaan bertukar atau tidak, pentadbir perlu ikut kerajaan yang dipilih.

“Hampir setahun ini, tidak banyak masalah walaupun ada pemimpin yang gugur kerana menyelewang,” katanya. – MalaysiaGazette

Loading...