Tiada Terkecuali Daripada Disiasat SPRM Jika Ada Laporan

BANTING – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tiada siapa pun akan terkecuali daripada disiasat agensi itu selagi wujud laporan mengaitkan individu tertentu dengan gejala rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata siasatan akan dijalankan jika suruhanjaya itu menerima laporan berkaitan rasuah yang relevan daripada penyalur maklumat.

“Kami akan menyiasat apa sahaja dan siapa sahaja selagi terdapat aduan kepada SPRM. Cuma kami tidak boleh memberi komen sejauh mana penyiasatan sedang dijalankan. Jika ada pihak yang mempunyai aduan di bawah bidang kuasa SPRM, kami akan membuat susulan.

“Bagaimanapun, kami harus bersikap adil dengan meneliti terlebih dahulu maklumat yang diterima sama ada ia benar melibatkan isu rasuah dan melibatkan akta SPRM, ataupun merujuk kes tersebut kepada agensi penguatkuasaa lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 23 Bil 1/2018 dan Kursus Peralihan (Pengurusan dan Profesional) Siri 4/2019, di sini hari ini.

Sementara itu, semasa ditanya mengenai dakwaan pihak tertentu kononnya SPRM ‘membersihkan’ nama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada tuduhan salah laku disebabkan hubungan baiknya dengan ketua pesuruhjaya, Latheefa menegaskan dirinya langsung tidak terlibat dalam penyiasatan isu berkenaan.

“Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa saya tidak akan terlibat. Saya tidak akan mengulas mengenai isu ini. Biarlah timbalan saya (Datuk Seri Azam Baki) yang menjelaskannya. Bagi kami, kami telah menjelaskan (bahawa) saya tidak akan terlibat, tetap tidak terlibat,” katanya.

Semalam, SPRM mengesahkan dakwaan pemindahan wang berjumlah US$741,440 (kira-kira RM3.1 juta) daripada syarikat kejuruteraan UEM Group Berhad ke dalam akaun bank yang didakwa milik Mohamed Azmin adalah tidak wujud.

Mengenai pertambahan bilangan individu dan entiti bagi kes permohonan pelucutan hak sivil yang difailkan SPRM berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), beliau berkata suruhanjaya itu tidak pernah menyebut senarai yang pernah dikeluarkan sebelum ini adalah jumlah muktamad.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah terkini individu dan entiti yang terlibat dalam kes berkenaan dan mengulangi bahawa pihak terbabit boleh memfailkan afidavit terhadap suruhanjaya tersebut.