Tiada Subsidi Di Sabah, Sarawak Kerana Guna Petrol Rendah

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Saifuddin Nasution Ismail berkata mereka yang berada di Malaysia Timur tidak layak menerima program subsidi petrol kerana penggunaannya lebih rendah berbanding Semenanjung.

Saifuddin menegaskan subsidi tersebut adalah sasaran kepada mereka yang berpendapatan rendah kerana golongan itu yang lebih memerlukan.

“Sekiranya anda memandu sebuah kereta mewah, satu tangki penuh mungkin akan menelan kos sekitar RM200, manakala bagi seorang individu berpendapatan rendah untuk mengisi Myvi sekitar RM60.

“Dari segi subsidi tiga sen seliter, siapa yang mendapat lebih banyak?

“Oleh itu, kami mahu ‘mendistribusi’ semula kepada mereka yang layak menerima subsidi,” katanya kepada pemberita di luar Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Saifuddin mengumumkan program subsidi petrol untuk kumpulan berpendapatan rendah untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Subsidi itu yang akan dilaksanakan pada 1 Januari tahun depan dihadkan kepada RM30 sebulan untuk kereta dan RM12 sebulan untuk motosikal. Ia akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.

Harga petrol RON95 kemudiannya akan diapungkan di Semenanjung dengan pelarasan dibuat secara berperingkat.

Mengenai pengapungan harga RON95, Saifuddin mengulangi sebarang peningkatan akan dibuat secara beransur-ansur berdasarkan harga minyak pada Januari.

Beliau menambah kenaikan drastik dalam harga akan membawa kesan kepada ekonomi yang tidak dapat diperbaiki, oleh itu Putrajaya akan menggunakan prinsip peningkatan secara beransur-ansur. – FMT

Loading...