Tiada Solat Jemaah, Jumaat Di Masjid 10 Hari – Mufti NS

SEREMBAN – Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat ketetapan bahawa solat berjemaah termasuk solat Jumaat serta sebarang aktiviti berkaitan tidak diadakan di masjid dan surau negeri itu selama 10 hari bermula 17 hingga 26 Mac ini.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menjelaskan ketetapan itu dibuat berdasarkan taklimat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan perbincangan ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang bersidang semalam.

Katanya, situasi terkini COVID-19 dilihat semakin kritikal susulan gelombang kedua penularan selepas penemuan kes positif dalam kalangan 16,000 jemaah yang menghadiri Jodr Qudama dan Ulama Malaysia, anjuran jemaah tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Muzakarah berpandangan bahawa semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat berjemaah dan solat Jumaat tidak diadakan bagi tempoh 10 hari bermula 17 hingga 26 Mac ini.

“Dalam tempoh itu, semua masjid dan surau dinasihatkan untuk membuat operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan jangkitan.

“Pelanjutan atau penamatan 10 hari berkenaan tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Yusof berkata, dalam keadaan sekiranya berlaku kematian akibat COVID-19, pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-107, yang bersidang pada 10 dan 11 Februari 2015.

“Ia mengenai hukum pengurusan jenazah bagi orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti virus ebola di Malaysia iaitu pengecualian dan kelonggaran sekiranya terdapat keadaan yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah itu.

“Dalam hal ini, dibolehkan jenazah itu diuruskan melalui prosedur tayyammum hanya di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik jenazah berkenaan sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusof berkata, dalam melaksanakan ketetapan itu, muzakarah menyerahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di Negeri Sembilan. – BH Online

Loading...