Tiada Sebab Kerajaan Laksana Semula GST – Mahathir

KUALA LUMPUR – Tiada sebab kerajaan mahu kembali melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST), sebaliknya akan mengukuhkan lagi sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang sedang dilaksanakan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya, setelah SST ditambah baik dan semua pihak cekap dalam melaksanakan cukai tersebut, diyakini kadar kutipan cukai itu setanding dengan GST.

Beliau juga berkata, jika kerajaan terlalu kerap menukar sistem cukai negara, ia boleh menggugat keyakinan para pelabur terhadap Malaysia.

“Ketika GST diperkenalkan dahulu dan kita dengar banyak rintihan daripada rakyat kerana kerap kali mereka membayar cukai dua kali. Sebab itulah kita berpendapat bahawa kita perlu kembalikan SST.

“Cukai ini (SST) sedang berjalan (dilaksanakan) dengan baik. Kita perlu memperbaiki lagi pelaksanaan cukai yang baharu ini. Sebab itu kita tidak ada sebab untuk kita kembali kepada cukai yang ditolak oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) yang minta penjelasan mengenai cadangan untuk kembali melaksanakan GST dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pada awal bulan ini, Dr. Mahathir berkata kerajaan akan mengkaji memperkenalkan semula GST jika itu kehendak rakyat sehingga menimbulkan pelbagai reaksi kononnya kerajaan mahu melaksanakan cukai itu semula selepas lebih setahun memansuhkannya.

GST mula dilaksanakan pada 1 April 2015 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), namun dimansuhkan oleh kerajaan PH selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan mengembalikan semula SST. – UTUSAN ONLINE

Loading...