Tiada Rebat Diberikan Pengguna Terjejas Bekalan Air

CYBERJAYA – Tiada rebat perlu dibayar kepada pengguna yang terjejas bekalan air susulan kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pada 24 April ini memandangkan notis makluman telah dikeluarkan awal, kata Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata melalui notis berkenaan, pengguna domestik dan industri di kawasan terjejas diharap dapat melakukan persediaan dengan menyimpan air yang mencukupi bagi kegunaan selama dua hari.

“Kerja-kerja penambahbaikan ini tidak boleh ditangguh memandangkan perkakasan sistem bekalan elektrik tersebut sudah kritikal dan bagi mengelakkan gangguan air tidak berjadual di masa akan datang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam memaklumkan mengenai gangguan bekalan air hingga 86 jam di 577 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor susulan kerja-kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di LRA SSP2 pada 24 April.

Henti tugas LRA SSP2 itu akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada kira-kira 4,143,465 pengguna di kawasan terkesan iaitu Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Suhaimi berkata Air Selangor akan mula menghantar 106 lori tangki air di kawasan terjejas pada 26 April sekiranya bekalan air masih belum pulih.

“Namun, bagi kawasan-kawasan kritikal seperti hospital dan pusat dialisis, bekalan air akan dihantar pada hari pertama bekalan air ditutup,” katanya.

Bagi kes-kes kecemasan dan mereka yang memerlukan bekalan air boleh menghubungi talian hotline 15300 atau talian WhatsApp 019-2816793 atau 019-2800919 yang dibuka 24 jam, katanya.

Beliau berkata Air Selangor menjangka hampir 50 peratus daripada kawasan yang terjejas akan menerima bekalan air melalui paip dalam tempoh 24 jam.