Tiada Rakyat Malaysia Terjejas Akibat Letusan Taal

KUALA LUMPUR – Setakat ini Wisma Putra menjelaskan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dengan insiden letusan gunung berapi Taal yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Manila.

Susulan letusan itu, pihak berkuasa Filipina menangguhkan semua penerbangan dari dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Manila hingga diberitahu kelak.

Wisma Putra dalam kenyataan malam ini memaklumkan, pihaknya sedang memantau rapi perkembangan dan situasi semasa kejadian itu yang berlaku tengah hari Ahad.

“Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) mengeluarkan status amaran gunung berapi Taal berada pada tahap empat (letusan berbahaya).

“Penduduk di kawasan terjejas sudah dipindahkan,” kata agensi itu.

Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang berada berdekatan kawasan terjejas supaya lebih peka dan berwaspada dengan situasi semasa selain mengikut arahan pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Manila menerusi talian +63 2 8662 8200 atau emel kepada mwmanila@kln.gov.my.

Gunung berapi Taal dilaporkan meletuskan debu, sekali gus dijangka membabitkan program pemindahan ribuan penduduk.

Ahli seismologi kerajaan negara itu merakamkan berlaku pergerakan magma di bawah kawah Taal, satu daripada gunung berapi paling aktif di selatan Manila. – BH Online

Loading...