Tiada Perkataan ‘Royalti’ Dalam Perjanjian Petronas 1975

PASIR PUTEH – Tiada perkataan “royalti” yang tertulis dalam perjanjian antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dengan kerajaan Kelantan, kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa.

Husam, yang juga bekas Exco kerajaan negeri berkata, yang ada hanyalah istilah bayaran tunai dan wang dimasukkan terus ke akaun kerajaan negeri.

“Dalam perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri pada 1975 hanya disebut pembayaran wang tunai (dan bukannya royalti). Istilah tiada masalah asalkan duit masuk ke kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Koperasi Padi Wangi Negeri Kelantan di pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Selising di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) dahulu mengkreditkan wang berkenaan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

“Hanya selepas PH mengambil alih (pentadbiran kerajaan persekutuan), (Perdana Menteri) Dr. Mahathir (Mohamad) membuat polisi (berkenaan bayaran tunai petroleum dan gas kepada negeri pengeluar) dan polisi dibincangkan dalam Majlis Presiden PH.

“Majlis Presiden PH bersetuju bayaran tunai harus dibayar kepada kerajaan negeri yang terlibat dan apabila dasar dilaksanakan, pembayaran dibuat secara diam-diam,” katanya.

Husam berkata, walaupun Kelantan dikatakan mempunyai empat telaga minyak, namun tiga daripadanya terletak di kawasan pertikaian, sekali gus menyebabkan hasil yang diterima negeri itu adalah sedikit.

“Yang lebih penting rakyat Kelantan perlu tahu perancangan kerajaan negeri dengan duit RM28 juta itu. Kerajaan negeri harus membentangkannya kepada rakyat seperti berapa peruntukan untuk pendidikan, kebajikan, anak-anak yatim, petani dan anak-anak muda,” katanya.

Isnin lepas, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, bayaran royalti minyak dibuat kepada Kelantan pada bulan lepas atas arahan perdana menteri.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob pada Selasa dilaporkan berkata, Kelantan hanya menerima wang ehsan pada 17 September lepas daripada kerajaan persekutuan, bukannya bayaran royalti.

Loading...