Tiada Paksaan Orang Asli Peluk Islam Di Kelantan

PETALING JAYA – Orang Asli di Kelantan tidak pernah dipaksa memeluk agama Islam, kata exco kerajaan negeri Kelantan, Nassuruddin Daud.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta itu berkata, Orang Asli di Kelantan juga memeluk Islam secara sukarela hasil dakwah beberapa jabatan dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

“Pihak Maik berdakwah, bukan memaksa dan Orang Asli masuk Islam secara sukarela,” katanya kepada FMT.

Nassuruddinn menambah, usaha dakwah kepada masyarakat Orang Asli di Kelantan tidak perlu dipertikaikan kerana Islam adalah agama Persekutuan.

Katanya, perkara tersebut secara jelas diperuntukkan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi usaha dakwah itu tidak sepatutnya dipersoalkan kerana ia tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan. Kita harap mereka yang tidak berpuas hati itu cuba fahami betul-betul peruntukan tersebut sebelum membuat sebarang tuduhan.

“Sepatutnya pihak yang tidak puas hati kena pertikai gerakan dan menyebarkan ajaran selain Islam dalam kalangan Orang Asli kerana ia jelas bercanggah dengan perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas pandangan beberapa pihak yang mempertikaikan usaha dakwah Maik dan JAHEIK kepada masyarakat Orang Asli di negeri itu yang disifatkan bertentangan dengan hak asasi kemanusiaan dan kebebasan beragama.

Kritikan itu juga termasuk gesaan supaya kerajaan Kelantan mengutamakan pemulihan hak Orang Asli termasuklah pembangunan kepada masyarakat itu terlebih dahulu sebelum bertindak mengislaman mereka.

Sebelum ini Timbalan Yang Dipertua Maik, Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, setakat ini hanya 5,000 dari 16,000 Orang Asli di pedalaman negeri ini menganut agama Islam.

Katanya, Maik menyasarkan untuk mengislamkan semua Orang Asli di negeri ini dalam tempoh 30 tahun lagi.

Beliau berkata, terdapat lebih 100 pendakwah Maik termasuk penggerak masyarakat di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bertugas menjaga kebajikan dan memberi pendidikan kepada Orang Asli di negeri ini.

Tak Timbul Isu Hak Pembangunan Orang Asli

Kenyataan Nassuruddin turut disokong Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadli Shaari mengatakan tidak timbul soal hak pembangunan Orang Asli perlu diutamakan berbanding mengislamkan mereka.

Katanya, kerajaan tidak pernah menafikan hak pembangunan masyarakat itu kerana ia diuruskan jabatan lain di samping usaha memberi dakwah kepada mereka dibuat pihak Maik.

“Maik merupakan institusi yang menjaga hal ehwal Islam jadi fokus mereka sudah tentu kepada soal Islam, jadi dikeluarkan kenyataan untuk mengislamkan Orang Asli itu sesuai potfolio mereka.

“… adapun tentang infrastruktur (perlu diutamakan), ada pihak yang menjaga, jadi semua pihak akan tumpu kepada gerak kerja masing-masing. Setiap agensi mempunyai fokus masing- masing, majlis agama, mereka ada tugas mereka untuk jaga soal Islam.

“Dalam perlembagaan negara, kita dibenarkan untuk sebarkan agama Islam untuk sesiapa dan Islam adalah satu-satu agama yang dibenarkan untuk disebarkan kepada penganut-penganut agama lain.

“Berbeza dengan agama lain tidak boleh disebarkan kepada Islam, apa yang disebut Maik itu kemungkinan merangkumi mereka yang masih tidak ada agama atau mereka yang mempunyai agama lain,” katanya. – FMT