Tiada Masalah Kalau Mahu Berpantun

JAKARTA – Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini menegaskan “tiada bermasalah untuk berpantun” di majlis kementeriannya, namun ia perlulah mengikut kesesuaian majlis.

“Tiada masalah, datanglah ke majlis kami, majlis meraikan veteran, majlis makan malam, penuh dengan pantun.

“Tapi adalah tempat tertentu (yang tidak berpantun), takkan lah di majlis berkawad pun hendak berpantun,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas penasihat sosio budaya kerajaan Tan Sri Rais Yatim mempertikaikan arahan larangan berpantun dalam majlis rasmi ATM.

Rais menerusi ciapan Twitternya turut berkongsi surat perkeliling bertarikh 2 Nov, ditandatangani Ketua Staf Markas ATM, Datuk Kamalruzaman Mohd Othman, yang menyatakan arahan larangan penggunaan pantun di dalam skrip juruacara majlis rasmi ketenteraan ATM.

Mohamad menegaskan perkara sepatutnya tidak dipolemik atau dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Beliau sebelum itu mengadakan kunjungan hormat kepada rakan sejawatnya, Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu, dalam satu acara berasingan bersempena program Pameran Indo Defence 2018 di sini.

Berkenaan pertemuan dengan Ryamizard, Mohamad berkata pertemuan itu membincangkan usaha mengukuhkan lagi hubungan pertahanan kedua-dua negara.

Katanya kedua-dua mereka bersetuju meningkatkan lagi kawalan keselamatan di sempadan terutamanya di Kalimantan dan Laut Sulu yang turut melibatkan Filipina.

“Kami juga bersetuju untuk memperbanyakkan lagi pos keselamatan di sempadan di Kalimantan, kita akan perbanyakkan pos kawalan bersama,” katanya.

Mohamad berada di Jakarta sejak semalam bagi mengikuti pameran Indo Defence 2018, selain turut mempromosikan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (Lima’19) yang akan berlangsung pada 26 hingga 30 Mac 2019.

Semalam beliau turut merasmikan pameran “Pavilion Malaysia” bersempena pameran Indo Defence 2018 yang berlangsung di Jakarta International Expo di Kemayoran, di sini.

Penyertaan Pavilion Malaysia dalam Pameran Indo Defence kali ini merupakan kali keempat sejak penyertaan kali pertama pada tahun 2012.

Pameran Indo Defence edisi ke-8 itu diadakan dua tahun sekali dengan objektif bagi mempromosi industri pertahanan di peringkat antarabangsa.

Pameran di Pavilion Malaysia itu disertai Kementerian Pertahanan Malaysia dengan kerjasama Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan Malaysia (Mides),syarikat EN Projects (M) Sdn Bhd, DSA Exhibition & Conference Sdn Bhd, Deftech, Sapura, Westar, Systematic Aviation, Aerospace Technology Systems Corporation dan Advanced Defence Systems. – BERNAMA

Loading...