Tiada Lantikan Politik Ketuai Perkhidmatan Awam – Cuepacs

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mengulangi pendirian agar tiada lantikan pihak luar atau lantikan politik dalam mengetuai perkhidmatan teras seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presidennya, Adnan Mat dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, ini bagi memastikan kelancaran sesuatu agensi sekiranya kerajaan berubah.

“Pihak berkenaan akan meletak jawatan apabila suatu kerajaan itu berubah. Ini boleh menjejaskan perkhidmatan kerajaan dan menimbulkan persepi kurang baik terhadap perkhidmatan kerajaan sedia ada. Penjawat awam hendaklah sentiasa terus kekal berkecuali,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan turut menyeru penjawat awam supaya memantapkan profesionalisme, meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan integriti dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

Pada masa kerajaan masih belum mewujudkan Kabinet, penjawat awam hendaklah meneruskan perkhidmatan seperti biasa dan tidak terpengaruh dengan situasi politik dalam negara, katanya.

“Apabila ia terus diperkukuhkan, sudah semestinya akan lahir anggota perkhidmatan awam yang cemerlang dan berwibawa seterusnya dapat merealisasikan penyampaian perkhidmatan yang mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara,” katanya.

Loading...