Tiada Lagi Tiket Percuma Anugerah Juara Lagu

BAYAR!… Buat julung kali, pihak produksi Anugerah Juara Lagu (AJL) jual tiket masuk kepada penonton sempena penganjuran AJL ke-33 yang akan berlangsung pada 3 Februari depan.

AJL edisi tersebut bakal bersiaran secara langsung menerusi saluran TV3 dari Stadium Axiata Arena, Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, di pinggir ibu negara, menurut laporan media tempatan hari ini.

Penjualan tiket dengan harga dari serendah RM25 itu boleh dibuat secara atas talian menerusi laman sesawang rasmi iaitu www.myticket.asia bermula pada 7 Januari ini hingga 2 Februari depan.

Malahan menurut Pengurus Hiburan Primeworks Studio, Muhammad Sufian Che Isa, ini merupakan kali pertama dalam sejarah apabila tiket AJL dijual kepada umum dan tiada lagi yang percuma diedarkan.

“Menerusi cara ini, semua peminat AJL ke-33 berpeluang mendapatkan tiket secara atas talian secara adil. Jadi dapatkan segera tiket ini sebelum kehabisan kerana ia dijual pada harga yang sangat rendah.

“Apatah lagu ia merupakan sebuah pertandingan yang menghimpunkan barisan penyanyi popular masa kini berentap sesama mereka,” ujar Muhammad Sufian dalam satu kenyataan.

AJL kali ini bahkan mempunyai tiga jenis tiket dengan dijual harga berbeza iaitu RM25 (tempat duduk aras empat), RM35 (tempat duduk aras tiga) dan RM55 (arena).

Sebarang maklumat lanjut berkenaan AJL ke-33, layari laman web www.xtra.com.my dan ikuti laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter TV3 Malaysia. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...