Tiada Lagi Sekolah Vernakular Di Johor – TMJ

TUNKU Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa sekolah vernakular di Johor digantikan dengan sekolah satu aliran ‘Bangsa Johor’

TMJ dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tiger berkata, beliau mahu menghapuskan sekolah berlandaskan kaum di negeri itu bagi menyatupadukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India.

“Pada masa akan datang, tidak akan ada sekolah Melayu, India, Cina di negeri Johor.

Yang akan ada ialah sekolah Bangsa Johor. Dari kecil akan diajar agar bersatu, menghormati agama antara satu sama lain dan menghormati kaum-kaum lain,” katanya.

Tambah TMJ, kewujudan sekolah vernakular menyebabkan masyarakat Melayu,Cina, dan India dipisahkan mengikut sistem persekolahan, dan perkara ini menyebabkan hubungan mereka semakin renggang.

“Anda ada sekolah Melayu, Sekolah Cina, Sekolah India, dan dari kecil anda sudah terapkan kepada mereka agar jangan bersatu. Tetapi apabila mereka sudah besar, anda suruh mereka bersatu?” , tambahnya.

Dalam pada itu, TMJ mengatakan sekolah agama akan tetap diteruskan.

Tidak dinafikan, apa yang digesa oleh TMJ ini sememangnya mempunyai kebaikan dan jika kita lihat pada keadaan negara pada hari ini, memang jelas rakyat Malaysia agak rasis dan kurang bersatu padu.

Mengikut undang-undang, sistem pendidikan vernakular dilindungi di bawah Akta Pendidikan 1996 dan juga di bawah Perlembagaan Persekutuaan, namun Kementerian Pendidikan masih mempunyai kuasa untuk membubarkan sistem sedia ada ini.

Bagi kami, adalah sebaiknya semua murid patut diintegrasikan di bawah satu sistem persekolahan supaya mereka dapat didedahkan kepada kumpulan etnik berbeza sejak kecil dan ini juga menerapkan murid supaya bersatu tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa. -MYNEWSHUB.CC

Loading...