Tiada Lagi Perkataan Hasutan, Rasis, Biadab, Seksis – Speaker

KUALA LUMPUR – Kesemua Ahli Dewan Rakyat diingatkan agar tidak menggunakan perkataan berbaur hasutan, rasis, biadab dan seksis sepanjang persidangan berlangsung.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang memulakan sesi persidangan pagi ini berkata, beliau dan timbalan-timbalannya akan mengambil tindakan berlandaskan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sekiranya perkataan sedemikian masih digunakan oleh Ahli Parlimen.

Azhar berkata beliau telah mengadakan perjumpaan dengan wakil whip parti semalam bagi membincangkan perkara itu dan kesemua yang hadir menyatakan komitmen dalam memastikan perkataan berbentuk hasutan, rasis, biadab dan seksis tidak digunakan.  

“Adalah diharapkan semua Ahli-ahli Yang Berhormat memberi komitmen sama demi menjamin perjalanan dewan yang berkualiti dan beradab sopan.

“Saya ingin mengingatkan kepada Yang Berhormat semua dan diri saya sendiri bahawa keberadaan kita di sini memberi tanggungjawab yang amat berat iaitu harapan rakyat pada kita semua,” katanya.

Mereka yang hadir pada perjumpaan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan ketua whip kerajaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (wakil Barisan Nasional), Datuk Seri Hamzah Zainudin (wakil Bersatu), Datuk Takiyuddin Hassan (wakil PAS), Datuk Seri Fadillah Yusof (wakil GPS) dan Datuk Johari Abdul (wakil PKR).

Turut hadir, Alice Lau Kiong Yieng (wakil DAP), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (wakil Amanah), Ahmad Hassan (wakil Warisan), Dr Maszlee Malik (wakil bebas) dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (Backbencher) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. 

Dalam pemaklumannya, Azhar turut berharap semua Ahli Parlimen berbahas dengan tertib dan sopan supaya kepentingan rakyat dapat dibela serta kesucian Dewan Rakyat sentiasa dijaga. – BERNAMA

Loading...