Tiada Lagi Pasukan STAGG, STING, Stafoc Di PDRM

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan tiga pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah…

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan tiga pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dimansuhkan sebagai langkah penstrukturan semula beberapa jabatan dalam agensi keselamatan itu.

Mohamad Fuzi ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, bagaimanapun, seperti dimaklumkannya sebelum ini, proses pertukaran membabitkan pegawai dan anggota di tiga pasukan khas tersebut memasuki 60 peratus dan dijangka lengkap dalam masa terdekat.

“Ya saya sahkan. Tiada lagi tiga pasukan khas seperti Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dalam PDRM,” katanya.

Semalam akhbar melaporkan mengenai proses pertukaran dan penempatan semula pegawai dan anggota tiga pasukan tersebut giat dilakukan PDRM.

Namun, pertukaran tersebut bukan bermakna tiga pasukan khas PDRM itu akan dibubarkan kerana ia memerlukan waran pelaksanaan.

Susulan itu, tular di laman sosial sejak semalam sebuah video yang memaparkan rakaman majlis perpisahan pasukan Stafoc.

Melalui video berdurasi 30 saat itu turut memaparkan sebahagian pegawai dan anggota terlibat sedih berikutan pembubaran pasukan itu. – UTUSAN ONLINE