Tiada Lagi Kilang Kimia Di Pasir Gudang

JOHOR BAHRU – Sebarang permohonan untuk membina kilang kimia baru di Pasir Gudang tidak akan diluluskan lagi pada masa depan bagi memastikan pembangunan lebih lestari di kawasan terbabit.

Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, perancangan itu telah dibincang bersama kerajaan negeri bagi memastikan Pasir Gudang membangun dengan lebih lestari pada masa depan.

“Perancangan (bandar) Pasir Gudang kena lebih lestari pada masa depan. Kita tidak boleh luluskan lagi semua kilang kimia. Tidak boleh,” katanya kepada pemberita selepas sesi perbincangan bersama pihak industri di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini.

Menurut beliau, terdapat 2,005 kilang di kawasan Pasir Gudang dengan 250 daripadanya adalah kilang kimia.

“Melihat kepada perkara itu, kita hari ini mengadakan perbincangan dengan pihak industri untuk melihat langkah segera yang boleh diambil dan langkah yang turut kita persetujui ialah setiap sekolah akan diberikan ‘pengesan gas’ oleh pihak industri dengan menjadikan sekolah terbabit anak angkat.

“Ini bagi memastikan pihak sekolah dapat mengambil bacaan secara berterusan dan cikgu akan diajar untuk menggunakannya.

“Kita juga akan kita memastikan Jabatan Alam Sekitar membuatkannya mandatori untuk kilang membekalkan pengesan gas ini dalam masa terdekat,” katanya.

Selain itu, Yeo juga akan membentangkan kertas Kabinet mengenai pemasangan sistem pemantauan bahan cemar automatik di Pasir Gudang, Jumaat ini bagi mendapatkan peruntukan.

“Bermaksud, selepas ini di Pasir Gudang, kita akan ada stesen sistem ini, di mana ia akan baca bacaan bahan cemar, bukan kualiti udara. Ini lebih spesifik dan rakyat Pasir Gudang boleh memeriksa secara dalam talian tahap bacaan itu,” kata beliau.

Dalam masa yang sama, pihak industri juga diminta memberikan data berkaitan yang boleh digunakan oleh pihak kementerian melaksanakan analisis “loading capacity” terhadap kawasan industri Pasir Gudang.

“Analisis ‘loading capacity’ ini akan mengambil masa 4 hingga 6 minggu, selepas itu kita mungkin akan adakan syarat lebih ketat daripada apa yang sedia ada sekarang untuk industri di Pasir Gudang,” katanya.

Analisis itu bertujuan untuk mendapatkan jumlah data bebanan sisa yang dilepaskan pihak industri ke udara, sungai dan sebagainya.

Ditanya mengenai jumlah kilang yang ditutup operasinya sejak insiden sesak nafas Khamis lepas, Yeo berkata setakat ini, 3 kilang ditutup.

Di samping itu, lebih 100 pemeriksaan dilaksanakan terhadap kilang di Pasir Gudang sejak peristiwa pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac.

Mengenai bilangan mangsa terbaru dalam insiden sesak nafas pula, Yeo berkata hari ini, 4 pelajar dari 4 buah sekolah dirujuk ke hospital setelah didapati mengalami simptom sesak nafas, muntah dan pening, namun tiada yang masuk wad.

Loading...