Tiada Lagi Amalan Kewangan Tidak Telus Atau Ketirisan

BANGKOK – Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa sebarang amalan kewangan yang tidak telus dalam negara akan dihentikan dan sebarang ketirisan di semua peringkat akan ditangani, kata Zuraida Kamaruddin.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata ia termasuk mengkaji semula pelaksanaan projek yang tidak lestari, di samping menamatkan projek yang tiada keutamaan.

“Bagaimanapun bagi projek-projek yang mempunyai impak besar kepada pembangunan sosioekonomi, yang dilihat boleh membawa kesejahteraan kepada orang ramai, ia akan diteruskan,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di majlis Persidangan Antarabangsa Kedua Pembinaan Negara anjuran kerajaan Thailand dan Nation Building Institute of Thailand di sini hari ini.

Menurutnya kerajaan Malaysia baru sahaja membentangkan Kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 2016-2020 dengan keutamaan diberikan kepada usaha mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan persekutuan.

Zuraidah yang baru tiba di Bangkok semalam berkata berkata semasa mengharungi perubahan dalam kepimpinan di Malaysia, projek-projek pembinaan negara tetap diteruskan.

“Detik penting dalam pembangunan Malaysia baharu dibuat pada 9 Mei lepas, apabila hasilnya membawa kepada penubuhan kerajaan baharu, dan ia perlu meneruskan usaha menjadi negara kelas dunia dengan bersandarkan kepada nilai dan aset yang terbit daripada kepelbagai kaum, agama, bahasa, dan kebudayaan yang dimilikinya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan membina Malaysia baharu yang cemerlang dari segi perpaduan, integriti, demokrasi, kedaulatan undang-undang, keadilan dan kesejahteraan.

Menurutnya Kementerian Perumahan dan kerajaan Tempatan Malaysia dijangka melaksanakan Dasar Perumahan Negara hujung tahun ini yang disasar menyediakan rumah yang lebih mampu milik dan selesa kepada kumpulan isi rumah 40 peratus terbawah (B40), dan isi rumah 40 peratus pertengahan (M40).

Katanya dasar ini juga akan menangani definasi rumah mampu milik, harga rumah semasa, konsep bangunan akan datang, saiz dan keperluan yang dicadang oleh pihak kementerian, untuk disatukan dalam skim perumahan awam dan swasta.

Turut hadir persidangan ialah Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand Krisada Boonrat. – BERNAMA​​​​​​

Loading...