Tiada Kontraktor Bumiputera Disingkirkan, Kata Loke

KUALA LUMPUR – Tiada kontraktor Bumiputera disingkirkan dalam rundingan semula kontrak Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang dianugerahkan secara rundingan terus oleh pentadbiran lepas, kata menteri kepada Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata tak timbul soal kontraktor Bumiputera disingkirkan.

“Dulu rundingan terus, hanya runding semula. Tak semua kontraktor adalah Bumiputera. Tak ada yang disingkir,” katanya dalam sesi pertanyaan.

Loke menjawab soalan tambahan daripada Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak), yang bertanyakan ada tidak kontraktor Bumiputera yang mendapat projek itu melalui rundingan terus tersingkir selepas rundingan semula.

Tajuddin ketika menjawab Loke berkata penganugerahan kontrak kepada syarikat-syarikat bukan Bumiputera menunjukkan kerajaan Barisan Nasional adil, “bukan macam PH yang singkirkan kontraktor Bumiputera.”

Loke menyangkal dakwaan Tajuddin dan berkata kerajaan tidak mengabaikan kontraktor Bumiputera.

“Ada syarikat Bumiputera yang masuk, kita terima sahaja, ‘no problem’,” katanya.

Menjawab soalan asal daripada Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai peranan RAC dalam pembangunan hartanah sepanjang laluan kereta api, Loke berkata badan berkanun kerajaan persekutuan itu menyediakan perancangan merangkumi pembangunan tanah-tanahnya untuk sepanjang tempoh 3 tahun ini.

Tanah-tanah itu terletak di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

“Pada peringkat awal, RAC akan melaksanakan kajian pasaran dan kebolehlaksanaan terhadap tanah-tanah yang terlibat bagi mengenalpasti potensi pembangunan hartanah berkenaan.

“Seterusnya, RAC akan menawarkan notis pra-kelayakan bagi tujuan pemilihan syarikat kerjasama yang berkemampuan dari segi pengalaman dan kewangan.”

Syarat-syarat pra-kelayakan akan disenaraikan dalam notis pra-kelayakan dan hanya syarikat yang lulus penilaian pra-kelayakan sahaja yang akan ditawarkan dokumen ‘request for proposal’,” katanya.

“RAC juga dalam peringkat rundingan awal dengan kerajaan negeri untuk mengalakkan pembangunan rumah mampu milik di atas tanah rizab keretapi yang berdekatan dengan stesen kereta api.” – FMT

Loading...