Tiada Kompromi Jamin Kesejahteraan Rakyat

PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus memastikan kesejahteraan rakyat dari segi kesihatan dan ekonomi walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, kerajaan sudah berkali-kali membuktikan tiada kompromi dalam memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Malah tegasnya, Kementerian Kewangan (MoF) memberi jaminan ekosistem kewangan negara masih berdaya tahan dan mempunyai sistem pengurusan dan pengawalseliaan yang kukuh.

Kerajaan juga, katanya memberi jaminan kepada rakyat dan pelabur bahawa pelbagai sektor ekonomi dan ekosistem kewangan tetap dibuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Rakyat masih boleh pergi ke bank dan institusi kewangan bagi menguruskan simpanan dan pelaburan seperti biasa.

“Malah, kerajaan serta agensi berkaitan akan memudahcara dan memastikan keadaan pasaran kekal kondusif dan teratur.

“Kita akan menjaga punca rezeki rakyat sebaiknya. Saya memahami bahawa keadaan yang kita hadapi adalah di luar jangkaan,” katanya ketika membentangkan laporan LAKSANA Ke-36 secara maya, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, dari segi perniagaan dan ekonomi pula, sektor pembuatan dan perkhidmatan penting juga masih dibenarkan beroperasi termasuk rantaian bekalan sektor terbabit.

Beliau berkata, kerajaan sudah memberi jaminan bahawa bekalan perlu akan dipastikan mencukupi, supaya aktiviti ekonomi utama boleh terus berfungsi.

“Bagi pengusaha kecil dan mikro, gerai juga masih boleh dibuka dan beroperasi dalam tempoh ini.

“Namun, ia akan diteruskan dengan SOP yang lebih ketat. Contohnya, pembeli hanya boleh membeli secara bungkus atau ‘takeway’,” katanya. – BH Online