Tiada Kes Keracunan Makanan Di Kluang Rail Coffee

KLUANG – Polis hari ini menafikan terdapat kes keracunan makanan di sebuah kedai makanan, Kluang Rail Coffee, di sini, sebagaimana dakwaan yang ditularkan oleh di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata dakwaan yang disebarkan di aplikasi WhatsApp itu mula dikesan pada pukul 10.45 pagi semalam, yang menyebar maklumat kononnya ada kes keracunan makanan di kedai itu, disebabkan terdapat takungan kencing tikus merata tempat di dapurnya.

Menurut beliau mesej yang disebarkan itu turut mengatakan ada tikus berkeliaran di premis perniagaan itu, yang menyebabkan ia ditutup serta merta dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap para petugasnya.

Beliau berkata selain itu mesej berkenaan turut mendakwa ada agensi kerajaan yang membantu 13 mangsa yang pengsan di kawasan Keretapi Tanah Melayu, manakala ada dua mangsa yang agak kritikal tidak dapat diselamatkan.

“Kami polis IPD Kluang menegaskan berita yang disebar itu adalah palsu kerana pada masa yang sama Pejabat Kesihatan Daerah Kluang menganjurkan satu ‘Latihan Simulasi Lapangan Bencana Radiasi Bil.01/2018 yang disertai oleh pegawai dan anggota dari balai polis IPD Kluang, Jabatan Bomba & Penyelamat Kluang dan KTMB Kluang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

“Turut menyertai simulasi itu ialah pihak Lembaga Pelesenan Tenaga Atom, Pejabat Daerah Kluang dan Angkatan Tentera Malaysia di lokasi Stesen Keretapi KTMB Jalan Stesen, Kluang, iaitu berhampiran premis perniagaan makanan berkenaan,” katanya, dan meminta agar orang ramai tidak mempercayai khabar angin atau berita palsu itu.

“Tindakan di bawah Seksyen 233 (3) Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia 1998, (denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi (1) tahun, atau kedua-duanya) akan diambil kepada sesiapa yang membuat atau menyebarkan berita palsu berkenaan.  – BERNAMA

Loading...