Tiada Keperluan Buka Semula Kes Rasuah Banglo Guan Eng

PULAU PINANG – Tiada keperluan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula kes rasuah banglo melibatkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng memandangkan kes tersebut sudah diputuskan oleh mahkamah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, adalah tidak masuk akal untuk SPRM membuka semula kes yang sudah selesai di mahkamah melainkan sekiranya didapati terdapat unsur yang salah dalam proses tersebut.

Dalam pada itu, tambahnya, SPRM memerlukan masa untuk meneliti dan mengkaji semula kes-kes berprofil tinggi serta melibatkan individu berpengaruh seperti dalam kes di Sarawak, Selangor dan negeri ini.

“Bagi kes-kes yang mendapat perhatian, kita (SPRM) memerlukan masa untuk meneliti kes-kes ini dan kita perlu faham mengapa kes itu ditutup, adakah atas alasan yang kukuh,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau ditanya kemungkinan untuk kes rasuah banglo melibatkan Guan Eng dibuka semula selepas Mahkamah Tinggi di sini pada September tahun lalu membebaskan Menteri Kewangan berkenaan daripada tuduhan rasuah.

Guan Eng dan ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon dibebaskan daripada pertuduhan rasuah yang dibuat terhadap mereka pada 2016 selepas pendakwa raya memutuskan untuk menggugurkan kes tersebut.

Beliau dituduh menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika meluluskan satu urus niaga tanah dan membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran. – UTUSAN ONLINE

Loading...