Tiada Kenaikan Elaun Untuk ADUN, Ahli Majlis – MB Johor

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri hari ini menolak cadangan untuk mengkaji semula elaun Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis pada hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata cadangan itu ditolak berikutan masih terdapat banyak perkara perlu dilaksanakan kerajaan negeri yang belum sampai setahun mentadbir Johor.

“ADUN-ADUN dan Ahli Majlis juga perlu membuktikan kita benar-benar berkhidmat untuk rakyat yang telah memberikan amanah kepada kita.

“Malah sebagai langkah penjimatan, gaji Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) juga dipotong sebanyak 10 peratus,” kata Osman pada sesi penggulungan Belanjawan Johor 2019 dalam sidang DUN di Kota Iskandar, di sini.

Menteri Besar turut menolak dakwaan yang tindakan itu merupakan retorik politik sebaliknya berkata ia bertujuan membantu kewangan negeri susulan beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan membentangkan belanjawan defisit.

“Namun sebagai langkah mengurangkan beban kewangan tersebut, kerajaan negeri mengambil inisiatif dengan memberikan geran keseimbangan kepada PBT terlibat dengan jumlah keseluruhan RM 13.7 juta,” katanya. – BERNAMA