Tiada Jodoh, Atikah Tak Dapat Tunjuk Skil Masak

KUALA LUMPUR – Hasrat memasak untuk suami pada Ramadan tinggal impian buat pelakon berasal dari Singapura, Atikah Suhaime.

Jika mengikut perancangan, Atikah sudah menjadi isteri kepada penyanyi, Awi Rafael andai mereka diijabkabulkan pada 17 Mac lalu. Namun, sudah tiada jodoh, ikatan mereka terlerai sebelum sempat disatukan.

Meluahkan perasaan, pelakon filem Volkswagen Kuning itu membayangkan keseronokan menunaikan tanggungjawab sebagai isteri terutama memasak untuk suami sepanjang Ramadan.

“Saya melalui tahun yang sangat mencabar… Ramadan, terima kasih kerana hadir kembali.

“Difikirkan, tahun ini, saya dapat menunjukkan skil memasak kepada suami, namun, ia tidak mungkin berlaku.

“Nampaknya, bahagian saya masih berada di dapur dan membasuh pinggan mangkuk serta membantu ibu,” katanya berkongsi entri di Instagram.

Pertengahan Februari lalu, Awi mengumumkan majlis pernikahan dengan Atikah yang sepatutnya berlangsung di Singapura pada 17 Mac lalu, dibatalkan.

Awi menjelaskan, dia dan Atikah berdepan dugaan hingga majlis perkahwinan terpaksa dibatalkan.

Atikah atau nama sebenarnya, Nur Atikah Mohd Suhaime, 28, akur impian menunaikan ibadat puasa bersama insan tersayang, tidak kesampaian.

Sementara itu, status Atikah menarik perhatian netizen yang rata-rata berharap aktres itu tabah berdepan dugaan.

Malah, ada peminat cuba menghiburkan Atikah dengan memintanya memasak untuk mereka termasuk pelakon, Afifah Nasir.

“Awak masaklah untuk saya ya… Jom masak untuk berbuka nanti,” kata Afifah. – BH Online

Loading...