Tiada Elemen Jenayah Dalam Kepincangan Kewangan LTAT

KUALA LUMPUR – Tiada elemen jenayah ditemui dalam kepincangan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tenteras (LTAT) bagi tahun berakhir 31 Disember, 2018 (FY2018), kata Pengerusinya, Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin.

Beliau menegaskan kepincangan yang ditemui dalam transaksi lepas adalah disebabkan oleh salah urus oleh pengurusan terdahulu yang telah tidak diambil kira dengan betul.

“Dalam perbincangan kami, ia merupakan salah pengurusan dan salah pengurusan itu telah tidak diambil kira dengan betul.

“Malangnya, apabila kami melantik Ernst (amp) Young untuk menjalankan audit, kami mendapati ada percanggahan tetapi ia bukan jenayah tetapi disebabkan oleh salah pengurusan yang berlaku,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan prestasi FY2018 LTAT.

LTAT telah mendapati beberapa kepincangan dalam transaksi di masa lepas oleh pihak lembaga, selain kelemahan dalam bidang operasi, perakaunan dan perundangan.

Kepincangan dan kelemahan itu berlaku semasa di bawah kepimpinan terdahulu iaitu Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin selaku ketua eksekutif LTAT sehingga 7 Sept, 2018.

Berikutan pernilaian daripada firma perakaunan EY pada Februari 2019, penemuan utama termasuk pendapatan terkumpul telah terkesan oleh terlebih bayaran dividen, penyataan semula aset LTAT antara 2015 dan 2017, tidak dilaksanakan dengan baik seperti ditetapkan dan aset hartanah tidak dijual.

Mohd Zahidi mengambil perhatian bahawa pengurusan ketika ini komited untuk memperkukuhkan LTAT demi masa depannya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed berkata perjumpaan dengan Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) akan diadakan dalam waktu terdekat untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai usaha untuk menambah baik LTAT.

Beliau turut ditanya mengenai gesaan PATRIOT supaya LTAT menjalankan siasatan lanjut berhubung beberapa ketidakpatuhan dan kelemahan tadbir urus kewangan.

“Bagi kami, perkara paling penting adalah untuk memandang ke hadapan kerana kini merupakan waktu yang mencabar bagi mendapatkan pulangan baik untuk anggota tentera kami (pemegang saham),” kata Nik Amlizan.

Bagaimanapun, beliau berkata LTAT akan membuat laporan polis sekiranya mereka kemudiannya mendapati ada elemen jenayah.

“Masih terlalu awal untuk berbuat demikian,” katanya dan menurutnya LTAT juga tiada cadangan untuk memaklumkan laporan EY kepada umum.

Selaras dengan pelan transformasi dan sebagai sebahagian inisiatif peruntukan aset strategik untuk meningkatkan portfolio pelaburannya, LTAT sedang mengkaji untuk mengurangkan tumpuan terhadap beberapa pelaburan dalam syarikat senaraian awam.

Ia turut mempertimbangkan kesesuaian pelaburan tertentu yang telah menyaksikan nilainya turun.

Loading...