Tiada Ahli Kabinet Bantah Najib Terlibat Dalam Mesyuarat 1MDB

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu tidak ada seorang pun ahli jemaah menteri menyuarakan kebimbangan tentang konflik kepentingan berhubung penglibatan Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau mempengerusikan mesyuarat kabinet berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet, Tan Sri Mazidah Abdul Majid, 72, berkata berdasarkan Kod Etika bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen, menjadi amalan ahli kabinet untuk mengisytiharkan konflik kepentingan apabila mereka mempunyai kaitan dalam sebarang isu yang dibincangkan oleh kabinet.

“Kami juga akan mengingatkan menteri yang berkenaan, kerana pada peringkat sekretariat, kami akan tahu,” kata saksi ke-11 pihak pendakwaan itu semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan bekas perdana menteri berkenaan berhubung 1MDB.

Kod etika berkenaan, antara lain, menggariskan ahli kabinet yang mempunyai kepentingan peribadi dalam sesuatu isu yang berkonflik dengan kepentingan kerajaan dan jika isu itu melibatkan anggota keluarga mereka, ahli kabinet berkenaan mesti meninggalkan mesyuarat dan merekodkan ketiadaan mereka. 

Berhubung syarikat pembangunan strategik itu, Najib memainkan tiga peranan iaitu selaku perdana menteri, menteri kewangan dan juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Muhammad Shafee: Ada sesiapa yang membangkitkan isu bahawa menteri kewangan tidak seharusnya terlibat dalam perbincangan tersebut atas faktor konflik kepentingan?

Mazidah: Tidak ada seorang pun yang membantah. 

Muhammad Shafee: Ada sesiapa pernah membangkitkan perkara itu kepada Datuk Seri Najib apabila membabitkan isu 1MDB?

Mazidah: Tidak ada. 

Menjawab soalan selanjutnya daripada Muhammad Shafee, saksi itu berkata sekiranya kabinet bimbang tentang seseorang yang mungkin ada konflik kepentingan, kabinet harus terlebih dahulu merujuk kepada Ketua Setiausaha Negara.

“Jika isu itu masih tidak diselesaikan, Ketua Setiausaha Negara akan merujuk perkara tersebut kepada Peguam Negara, namun ini tidak pernah terjadi sebelum ini,” kata Mazidah.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, saksi itu ditanya sama ada beliau tahu Najib mempunyai kepentingan peribadi dalam 1MDB memandangkan beliau pada masa itu merupakan pengerusi syarikat berkenaan, Mazidah menjawab “saya tidak tahu.”

Ahmad Akram: Jika beliau, secara peribadi, menerima wang daripada 1MDB, bukankah ini merupakan konflik kepentingan peribadi seperti yang digariskan dalam kod etika?

Mazidah: Pendapat peribadi saya ialah ‘ya’, tetapi saya sarankan anda dapatkan pandangan Peguam Negara.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 15 Februari ini. – BERNAMA