Tiada Aduan Rasmi Pekerja Diberhenti Sepanjang PKP

PENDANG – Tiada aduan rasmi mengenai pekerja diberhentikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lepas, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim.

Beliau berkata, kerajaan akan memastikan kepentingan majikan dan pekerja terus terbela dan wujud situasi ‘menang-menang’ antara kedua-dua pihak kerana mereka adalah komponen penting dalam menggerakkan ekonomi negara.

“Setakat ini tiada aduan rasmi mengenai pekerja diberhentikan dan keadaan masih terkawal.

“Kami di pihak kerajaan pada setiap hari bertungkus lumus memastikan bantuan yang kita salurkan akan dilakukan secara menyeluruh termasuk bagaimana kita hendak membantu majikan dan pekerja,” katanya selepas menyampaikan sumbangan pek makanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada masyarakat di sini.

Beliau berkata, namun sekiranya terdapat laporan pekerja diberhentikan, kerajaan akan berusaha untuk menyelesaikan dengan sebaik mungkin dengan melihat perkara ini itu daripada pelbagai sudut.

Awang berkata, kementeriannya amat mengalu-alukan pandangan serta idea dari semua pihak untuk membantu kerajaan meringankan beban golongan yang terjejas dengan penularan COVID-19 khususnya majikan dan pekerja.

Beliau berkata, setakat ini kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan Kesatuan Majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Awang berkata, kumpulan berkenaan memberikan pandangan yang positif untuk meringankan beban kerajaan kerana ini adalah pengalaman pertama Malaysia mahupun negara-negara lain di dunia berdepan dengan pandemik berbahaya itu.

Loading...