TH Pindah Milik Hotel Sebab Tak Untung – Mahathir

PUTRAJAYA – Tindakan Lembaga Tabung Haji (TH) memindah milik operasi empat hotel miliknya kepada pihak ketiga disebabkan ia tidak mendatang hasil, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Justeru, Perdana Menteri berkata, pengurusan TH perlu mencari cara lain untuk melaburkan wangnya bagi mendapat keuntungan.

“Sesetengah hartanah itu tidak berguna, tidak mendatangkan hasil.

“Ada cara lain untuk melaburkan wang bagi mendapatkan keuntungan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Bulan Antidadah Kebangsaan 2020, di sini, hari ini.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan TH menjual empat hotelnya baru-baru ini.

TH dalam kenyataannya hari ini menjelaskan bahawa ia tidak menutup empat hotel miliknya dan tidak melaksanakan pemberhentian pekerja, sebaliknya rangkaian hotel itu akan beroperasi di bawah pengurusan Urusharta Jemaah Sdn. Bhd. (UJ), syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

TH dan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJ) dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, operasi di hotel yang sudah dipindah milik daripada TH kepada UJ iaitu TH Hotel Kota Kinabalu; TH Hotel Bayan Lepas; TH Hotel & Convention Centre Alor Setar; dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu akan diteruskan di bawah anak syarikat milikan penuh UJ, UJ Property Management Sdn. Bhd. (UJPM).

“UJPM akan mengambil alih operasi keempat-empat hotel berkenaan yang sebelum ini di bawah seliaan TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR) bermula 1 April 2020,” kata TH dalam kenyataan itu. – BH Online

Loading...