KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) sudah mengenal pasti aset yang tidak mencatatkan prestasi baik bernilai RM19.9 bilion untuk dipindahkan ke syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) untuk menstabilkan kedudukan kewangannya, kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Zukri Samat.

Daripada aset yang dikenal pasti, 80 peratus adalah ekuiti dengan kerugian yang belum direalisasi lebih daripada 20 peratus, sementara baki 20 peratus adalah hartanah dan aset tanah dengan hasil di bawah 2.5 peratus, katanya.

SPV itu kemudiannya akan menerbitkan RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan RM9.9 bilion saham keutamaan boleh tebus Islam (RCPS-i), yang boleh ditebus pada bila-bila masa tanpa penalti

“Instrumen itu akan diterbitkan pada suku pertama 2019,” katanya pada sidang media membentangkan pelan pemulihan dan penstrukturan TH di sini, hari ini.

TH menyasarkan untuk memuktamadkan terbitan itu menjelang hujung bulan ini, yang mana dana jemaah haji itu akan mempunyai lembaran imbangan yang bersih dengan aset menyamai liabiliti, kata Zukri dan menambah bahawa, TH setakat ini mempunyai RM57.1 bilion aset baik

Sementara itu, TH juga dalam proses menginstitusikan rangka kerja pengurusan risiko bagi memastikan bahawa dasar pelaburan pada masa depan memenuhi model perniagaan baharunya.

“Kami sudah melantik Ketua Pengurusan Risiko yang sangat berpengalaman bagi memastikan TH mempunyai proses penilaian yang sangat kuat sebelum kami melaksanakan instrumen baharu,” katanya dan menambah, TH juga menyemak semula portfolio pelaburannya dan mungkin keluar daripada beberapa sektor yang tidak menguntungkan seperti minyak dan gas juga perniagaan hotel.

Zukri berkata, TH bercadang untuk menyemak semula peruntukan asetnya bagi mengurangkan pendedahannya terhadap ekuiti sebanyak 20 peratus.

Dilaporkan bahawa, hampir 40 peratus aset TH merangkumi pelaburan saham syarikat disenaraikan yang terdedah kepada turun naik pasaran kewangan.

Dengan lembaran imbangan yang distruktur katanya, TH akan bersiap sedia untuk bergerak ke hadapan bagi menjana keuntungan yang mampan dalam mengagihkan hibah (dividen) dan ia akan mematuhi sepenuhnya Akta Tabung Haji 1995.

TH juga akan berupaya membayar dividen yang memuaskan tahun ini, katanya dan menambah bahawa, beliau percaya TH akan kembali ke landasannya pada 2019.

Beliau juga menjelaskan bahawa, dana jemaah haji itu diaudit oleh Jabatan Audit Negara bukannya PriceWaterhouseCoopers (PwC) seperti dilaporkan, dan menyatakan bahawa, PwC hanya menyemak kedudukan kewangan TH bagi menentukan kedudukan kewangan sebenarnya sehingga Disember 2017 disebabkan “penekanan perkara” yang dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara.

Zukri juga memberi jaminan bahawa kos mengerjakan haji akan kekal pada RM9,980 seorang pada 2019. – BERNAMA

Loading...