Terengganu Ambil Positif Agenda Dalam KSP RMK11

DUNGUN – Kerajaan negeri memandang positif usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memberi peruntukan yang lebih saksama kepada beberapa negeri termasuk Terengganu bagi memastikan agenda pembangunan antara wilayah lebih setara seperti yang dinyatakan dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat Jumaat lepas.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri amat berterima kasih kepada kerajaan persekutuan di atas pembentangan berkenaan dan berharap rundingan lanjut boleh dilakukan bagi membincangkan perkara itu.

“Saya bersama Menteri Besar Kelantan dan Pahang telah dipanggil untuk menghadiri satu mesyuarat Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 31 Okt nanti di Putrajaya.

“Saya percaya sebahagian daripada perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah berkaitan perkara dasar yang telah dibentangkan dalam KSP RMK11 yang akan diperincikan dengan lebih mendalam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal Dana Surau Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Ismail, di Dewan Arena Square di sini malam tadi yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata selain agenda pembangunan saksama antara wilayah, langkah kerajaan untuk mengembalikan semangat federalisme antara kerajaan negeri dan pusat juga harus dipuji dan disifatkan sebagai satu pembaharuan positif yang dibawa oleh kerajaan baharu.

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat meneruskan perjanjian atau ketentuan yang telah lama dipersetujui sebelum ini termasuk dalam pembahagian royalti minyak kepada Terengganu.

“Royalti adalah sebahagian daripada perkara yang telah dipersetujui antara kerajaan negeri dan pusat sejak sekian lama dan kerajaan baharu dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan perdana menteri juga sudah bersetuju untuk menyalurkan pembayaran dana khas kerajaan persekutuan (royalti) itu terus kepada kerajaan negeri dan amat dihargai.

“Setakat ini, saya boleh katakan bahawa kita ada menerima sejumlah wang berkenaan yang dibayar secara beruncit dan kita masih lagi menunggu jumlah sebenar daripada lima peratus yang sepatutnya kita terima,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan pusat kerana meneruskan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat termasuk Hospital Kemaman, Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan sekolah. – BERNAMA

Loading...