Testimoni Palsu Guna Aplikasi WhatsFake Tarik Pelanggan

KANTOI… Hanya kerana mahu menarik pelanggan, pelbagai kaedah unik digunakan termasuk menggunakan teknologi yang diciptakan oleh individu terlebih ‘kreatif’ iaitu WhatsFake.

Mungkin aplikasi ini baharu kepada sesetengah individu namun kepada peniaga dalam talian atau online, aplikasi ini sudah mula menular dalam kalangan mereka.

Bagi setiap peniaga online, mereka memerlukan testimoni atau respons daripada pengguna untuk melariskan jualan dan memperkenalkan barangan.

Testimoni dalam bentuk perbualan di antara pelanggan dan peniaga yang berpuas hati dengan produk dibeli akan dimuat naik dalam laman sosial untuk menarik pelanggan baru.

Testimoni Palsu Guna Aplikasi WhatsFake Tarik Pelanggan

Persoalannya, adakah benar semua testimoni yang dikongsikan peniaga online adalah dari pelanggan mereka atau sekadar penipuan semata-mata.

WhatsFake akan digunakan untuk cipta perbualan mengenai testimoni sesuatu barangan sehingga boleh membuatkan pelanggan terperdaya.

Melalui aplikasi ini, anda boleh jadi penghantar (sender) mesej dan pada masa yang sama anda juga boleh jadi penerima (receiver) mesej dalam perbualan yang sama.

Dalam kaedah mudah difahami ialah dengan menggunakan WhatsFake, anda sebenarnya sedang ‘berlakon’ jadi dua orang yang berbeza menerusi satu sesi chatting atau sembang ala WhatsApp.

Aplikasi yang dipercayai dicipta pada tahun lepas sudah dimuat naik lebih 10,000 kali dan mendapat rating yang agak tinggi untuk aplikasi komunikasi.

WhatsFake ini tiada kaitan dengan pengeluar aplikasi WhatsApp yang diperkenalkan pada 2009 sebelum diambil alih oleh Facebook pada tahun 2014 walaupun skrin dan simbol perbualan WhatFake sama dengan WhatsApp.

Justeru orang ramai kini perlu lebih berhati-hati dengan memilih produk, barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh peniaga online tidak beretika. – MYNEWSHUB.CC