Tesla, Apple Didakwa Terlibat Kematian Kanak-Kanak Di DRC

NEW YORK – Lima syarikat teknologi terbesar di dunia didakwa terlibat menyebabkan kematian kanak-kanak di Republik Demokratik Congo (DRC) yang dipaksa melombong kobalt, logam digunakan untuk menghasilkan telefon dan komputer.

Aduan undang-undang bagi pihak 14 keluarga dari DRC itu difailkan Ahad lalu oleh Penasihat Hak Antarabangsa, sebuah organisasi bukan keuntungan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) terhadap Tesla Inc, Apple Inc, Alphabet Inc, Microsoft Corp dan Dell Technologies Inc.

Kesemua syarikat berkenaan adalah sebahagian daripada sistem buruh paksa dan keluarga mangsa mendakwa ia membawa kepada kematian serta kecederaan serius terhadap anak-anak mereka.

Dakwaan itu adalah yang pertama kali industri teknologi berdepan tindakan undang-undang berkaitan sumber kobaltnya.

Menerusi gambar dalam dokumen mahkamah difailkan di Mahkamah Daerah Washington DC turut menunjukkan anggota badan kanak-kanak yang cacat.

“Syarikat terkaya di dunia dan syarikat yang menghasilkan gajet mewah ini membiarkan kanak-kanak menjadi kudung atau terbunuh sema-mata untuk mendapatkan kobalt murah mereka,” kata seorang peguam, Terrence Collingsworth yang mewakili keluarga mangsa.

Enam daripada 14 budak dalam kes terbabit maut akibat runtuhan terowong dan selebihnya cedera termasuk lumpuh. – Agensi

Loading...