“Teruskan Lakonan Anda, DAP!”

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Selangor, Ahmad Dusuki Abd. Rani berkata ‘lakonan’ beberapa pemimpin DAP di negara hampir mengelirukan umat Islam.

Malah katanya ‘lakonan’ itu berjaya menambat hati beberapa umat Islam yang sanggup menjadikan mereka sebagai wakil rakyat.

“Masuk sahaja bulan Ramadan, adalah sahaja amalan yang cuba ditunjukkan bagaikan mereka terbaik untuk Islam bahkan seolah olah merekalah pejuang Islam yang tulen diredhai di sisi Allah.

“Syabas DAP!! Teruskan lakonan anda.. moga mendapat anugerah menjadi actor terbaik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Dusuki dipercayai merujuk status Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang memuatnaik beberapa gambar berbuka puasa di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Dalam status itu Ahli Parlimen Bagan itu berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau sekitar Parlimen itu.

“Majlis berbuka puasa secara hidangan bertalam dan penyampaian sumbangan kepada Masjid dan Surau Parlimen Bagan bersama Imam Masjid Dan Pengerusi MAIPP Dato Malik, di Masjid Kubang Buaya Butterworth,” tulis Guan Eng.

Justeru itu, Ahmad Dusuki menasihatkan agar tidak terus terpaku dengan ‘lakonan’ politik DAP.

Jika benar DAP dan sekutu mereka meletakkan Islam sebagai keutamaan, kita cabar mereka, jom bersolat dan sujud bersama kami, laksanakan janji penghapusan tol dan bayaran PTPTN yang dijanjikan di dalam manifesto mereka itu, Jom laksanakan apa yang terdapat didalam Al Quran.. Gentar?

“Sebenarnya DAP ada agenda tersembunyikan? Kami umat Islam dilatih dengan kefahaman perang Badar Kubra di bulan Ramadan ini.. Selamat mencuba DAP…,” katanya lagi.

Dua tahun lalu, Jaringan Muslimin Pulau Pinang mengadakan tunjuk perasaan dan mendesak agar Guan Eng yang ketika itu memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dilarang hadir majlis berbuka puasa.

Malah sekiranya Guan Eng mahu turut serta dalam acara berbuka puasa, beliau perlu masuk Islam. – MalaysiaGazette