Tersalah Ejaan Buruk Padahnya

KUALA LUMPUR – Sebuah papan tanda iklan di persimpangan bertingkat Lebuhraya Alor Gajah-Melaka-Johor (AMJ) di Jalan Taming Sari, Melaka diarahkan turun kerana melanggar undang-undang kecil Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Notis arahan itu dikeluarkan selepas papan iklan berkenaan dipercayai melanggar undang-undang kerana menggunakan ayat yang tidak dieja dengan betul.

Menurut jurucakap Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan MBMB, papan tanda iklan berkenaan disewakan kepada pihak ketiga oleh pemilik konsesi yang juga merupakan pemegang lesen.

“Pihak kami tidak dimaklumkan oleh pemilik konsesi mengenai kandungan iklan pada papan tanda berkenaan kerana syarikat yang mengiklankan produk makanan ringan itu membeli ruangan daripada mereka.

“Bagaimanapun, selepas aduan diterima, semalam, kami mengeluarkan notis supaya pihak terbabit menurunkan papan tanda tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Papan tanda iklan makanan ringan itu dikatakan menggunakan istilah ‘KTHXBYE’ dipercayai bermaksud ‘ok thanks bye’ sebagai ucapan selamat jalan kepada pelancong yang pulang daripada berkunjung ke Melaka.

Oleh demikian, papan tanda berkenaan menjadi tular dalam media sosial, Facebook menerusi hantaran pemilik akaun, Nurul Aida apabila apabila dikongsi lebih 500 pengguna selain turut diulang siar oleh pemilik laman Facebook yang lain.

Bagaimanapun, penggunaan istilah sedemikian mendapat kecaman pengguna laman media sosial itu kerana selain mengelirukan ejaannya juga disifatkan sebagai perosak bahasa.

Menurut pemilik akaun Abdullah Mohd. Jamadi pula, penggunaan istilah sedemikian adalah sebagai salah satu strategi pemasaran kerana iklan berkenaan boleh ditularkan menerusi media sosial.

“Benda boleh jadi tular, tetapi tindakan sedemikian merosakkan bahasa,” katanya.

Bagaimanapun, menurut pemilik akaun Anwari Hamzah, penggunaan istilah sedemikian merupakan singkatan lazim yang digunakan dalam kalangan pemain permainan video.

“Sejak 2003 lagi slanga internet sedemikian digunakan dalam kalangan ‘gaming society’,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Loading...