Terrence Goh Mungkin Kelirukan CEO SRC

KUALA LUMPUR – Pengarah Kewangan SRC International Sdn. Bhd. sebelum ini mungkin dengan sengaja mengelirukan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Nik Faisal Ariff Kamil tentang laporan kedudukan kewangan syarikat itu.

Menurut saksi ke-39 Tan Sri Ismee Ismail, laporan yang diaudit pada 2013 itu juga dianggap tulen dan kemudian diserahkan kepada Suruhanjaya Syarikat.

Pengarah Kewangan SRC international Sdn. Bhd. pada masa itu yang dimaksudkan ialah Terrence Geh.

“Apa yang saya dapat ingat, yang saya percaya sekarang ialah bahawa ia juga telah diwakili oleh Terrence (Geh) yang menyediakan akaun itu,” katanya kepada Mahkamah Tinggi hari ini.

Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee terdahulu bertanyakan kepadanya adakah Ismee percaya apabila Nik Faisal berkata akaun yang diaudit itu secara tidak disengajakan merupakan laporan yang salah kemudian menyerahkan kepada lembaga pengarah.

Ismee yang juga bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC itu juga bersetuju bahawa Pengurusan SRC International Sdn. Bhd. tidak memerlukan lembaga pengarahnya untuk mematuhi sepenuhnya nasihat Datuk Seri Najib Razak selaku Penasihat Emeritus syarikat itu sebelum ini.

Menurut Shafee ianya merupakan ketetapan yang terkandung dalam Artikel 117 Persatuan SRC bahawa Lembaga Pengarah hendaklah mempertimbangkan terlebih dahulu nasihat Perdana Menteri dan pelaksanaan akan dibuat berdasarkan kepentingan syarikat.

Walau bagaimanapun, Ismee ketika ditanya pasukan pendakwaraya pula berkata, ahli lembaga pengarah syarikat itu mempunyai pilihan letak jawatan atau digugurkan jika enggan patuh pada minit mesyuarat yang mengandungi nasihat perdana menteri iaitu Datuk Najib Razak. – MalaysiaGazette

Loading...