Terperangkap 3 Hari Dalam Lif Kediaman Bilionair

NEW YORK – Seorang wanita yang bekerja sebagai tukang cuci ditemui terperangkap selama tiga hari di dalam lif di sebuah kediaman miliki seorang bilionair di Manhattan di sini baru-baru ini.

Sewaktu kejadian berlaku, pemilik kediaman bernilai AS$20 juta (RM82 juta) itu, Warren Stephens dan isteri, Harriet dilaporkan tiada di rumah. Pasangan itu hanya menyedari Marites Fortaliza, 53, terperangkap di situ selepas pulang ke rumah townhouse mereka pada pukul 10 pagi, Isnin lalu.

Sekumpulan anggota Jabatan Bomba Bandar Raya New York bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada hari sama dan berjaya menyelamatkan Fortaliza. Lif tersebut dilaporkan tersangkut di antara tingkat dua dan tiga premis itu.

Mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan dibawa ke sebuah hospital untuk rawatan lanjut. Dia kini dilaporkan stabil. Menurut pihak berkuasa tempatan, mangsa dipercayai terperangkap di dalam lif sejak Jumaat lalu.

Warren ialah pengerusi, presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Stephens Inc., iaitu sebuah bank pelaburan yang berpangkalan Little Rock di negeri Arkansas. – Agensi