Terpaksa Bawa Jenazah Bayi 100KM Naik Motosikal

SAYU… Jenazah seorang bayi warga Desa Waro, di wilayah Bima, Nusa Tenggara Barat, Indonesia terpaksa dibawa dengan motosikal sejauh 100 kilometer setelah keluarganya tiada wang untuk membayar khidmat ambulans.

Bayi perempuan yang berusia lima hari itu meninggal dunia setelah beberapa hari menjalani rawatan di unit rawatan intensif neonatal (NICU) di Hospital Awam Daerah Bima.

Saat hendak dibawa pulang ke kampung halaman keluarganya yang terletak sejauh 100 kilometer dari hospital berkenaan, pihak hospital memberi alasan bahawa mereka tidak menyediakan perkhidmatan ambulans percuma.

Menurut ketua kampung Desa Waro, M. Ali, pasangan suami isteri itu tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa mengambil khidmat motosikal sewa yang popular di Indonesia dalam kejadian yang berlaku pada Rabu lalu.

“Jarak rumah keluarga tersebut dengan hospital adalah kira-kira 100 kilometer. Pasangan suami isteri tiada pilihan lain kerana tidak mampu untuk buat bayaran ambulan seperti diminta,” katanya.

Jelasnya, pihak hospital tersebut pada awalnya terpaksa menahan jenazah bayi tersebut daripada dibawa keluar kerana masih terdapat tunggakan bil yang masih belum dibayar lagi.

Tindakan mereka itu mencetuskan kemarahan ramai dan beberapa wakil dari perkampungan tersebut telah mengambil tindakan menegur pengurusan hospital berkenaan.

Susulan insiden berkenaan, ketua pengarah hospital berkenaan, H. Ikhsan telah berkunjung ke rumah pasangan yang dikenali sebagi Jufrin dan isterinya, Suhadah itu bagi memohon maaf kepada mereka atas perkara berlaku.

Malah, jelas Ikhsan, sekiranya dia tahu akan situasi yang dialami pasangan itu pada waktu tersebut, dia sudah pasti tidak akan membiarkan insiden aneh itu terjadi.

“Kami menyampaikan penyesalan mendalam atas kejadian yang dialami keluarga pesakit. Untuk menebus kekhilafan kami, dengan ini kami datang menyampaikan permohonan maaf kepada pihak keluarga.

“Demi Allah, saya tidak tahu keadaan mereka saat itu. Kalau saya tahu, tidak mungkin membiarkan ia terjadi. Apatah lagi rumah sakit ini milik masyarakat,” ucap Ikhsan.

Tambahnya, pihak pengurusan hospital berkenaan akan memastikan kejadian sebegitu tidak diulangi lagi pada masa hadapan

Oleh itu, pihak hospital turut memberi pampasan kepada keluarga terbabit selain melahirkan rasa kesal terhadap kejadian tersebut. – MYNEWSHUB.CC/EZ

*Video sekadar hiasan…

Loading...