Terowong: Datuk Seri Dibebas Dengan Jaminan RM150,000

PUTRAJAYA – Ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ yang direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima suapan RM19 juta bagi menutup kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion dibebaskan hari ini.

Majistret Lee Hong Shi membenarkan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM150,000 berserta seorang penjamin.

Suspek berumur 37 tahun itu direman selama 11 hari sejak 28 Feb lepas.

Menurut sumber, suspek yang juga suami kepada seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dipercayai menerima wang suapan RM19 juta itu daripada syarikat pembinaan utama projek selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dakwa sumber itu lagi, pihak syarikat berkenaan membayar wang berjumlah RM19 juta itu secara berperingkat antara Julai dan Ogos tahun lalu. – BERNAMA