Terowong Dasar Laut: Datuk Seri Mengaku Tak Bersalah

SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen sebentar tadi atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM19 juta bagi menutup siasatan projek mega terowong dasar laut di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion, dua tahun lalu.

Tertuduh, M. G. Gnanaraja, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Gnanaraja yang memakai sut blazer telah memperdayakan seorang pengarah syarikat sebanyak RM19 juta bagi menutup siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram 2001.

Kesemua wang tersebut diterima secara berperingkat bermula Julai dan Ogos 2017 di sebuah hotel di Damansara dan CIMB Bank Berhad cawangan KLCC.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Umar Saifudin Jaafar menawarkan jaminan RM100,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram tidak membantah cadangan tersebut.

Sebutan semula kes ditetapkan 6 Mei depan. – K! ONLINE

Loading...