Terlepas Habuan Zaman Najib, Melepas Janji PH

BELUM 100 hari kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) menubuhkan kerajaan di Putrajaya, di media sosial sudah muncul sindiran “rindu zaman Najib” apabila janji-janji PH tidak tertunai.

Janji hapus tol, turun harga minyak, tangguh bayar hutang PTPTN dan banyak lagi sudah tidak nampak akan dilaksanakan, malah sudah diberitahu tidak dapat dilaksanakan, tetapi menggunakan alasan “tangguh”.

Bagi penjawat awam, bukan sahaja janji tidak ditunai, malah mereka terlepas janji bantuan Hari Raya RM500 yang dijanjikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rakyat Malaysia yang pulang ke kampung juga terlepas tol percuma selama lima hari yang dijanjikan oleh bekas PM Najib.

Ini baru masuk soal janji manifesto, sudah banyak senarai janji dimungkiri atau “dicapati” kerana tidak realistik.

Banyak kelebihan yang dapat pada zaman Najib telah kehilangan sedikit demi sedikit, bermula dengan ganjaran untuk penjawat awam.

Pembatalan projek keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura dan MRT 3 juga menambahkan senarai projek untuk rakyat yang hilang di bawah Mahathir.

Walaupun nanti diteruskan semula, mungkin di bawah kontraktor lain seperti dijangka sesetengah pihak, rakyat sebenarnya sudah kehilangan banyak kelebihan berbanding pada zaman Najib.

Siapa yang ingat zaman Mahathir sebagai perdana menteri keempat boleh ingat bagaimana susahnya Mahathir hendak memberi habuan kepada rakyat.

Betapa susahnya masa itu melawan kenaikan tol, harga minyak dan lain-lain yang kerajaan mempunyai kuasa untuk mengawal.

Mahathir menjadi PM sekali lagi ini mungkin ada beberapa perubahan dalam sikapnya, tetapi jangan sangka beliau sudah berubah dan menjadi mesra rakyat seperti yang digambarkan.

Bonus raya, projek perumahan kerajaan untuk rakyat kurang mampu, diskaun tol dan sebagainya ini hanya muncul pada zaman Najib.

Di bawah PM Najib, baru rakyat Malaysia mendapat bantuan-bantuan yang bersifat sokongan ekonomi ini daripada kerajaan.

Daripada bantuan persekolahan, pemansuhan yuran dan sebagainya, semasa Najib sebagai PM, bantuan-bantuan ini dinikmati oleh rakyat.

Hasil pendapatan daripada petroleum yang merosot kerana harga minyak dunia menjunam telah dapat ditampung dengan hasil cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Sebenarnya banyak yang rakyat akan rasa kehilangan dalam hari-hari mendatang, selepas menjadi saksi bagaimana janji bulan bintang tidak tertunai.

Semangat dan sentimen semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 lalu yang telah menutup mata daripada menilai dengan waras akan berakhir, dan kebenaran akan terlihat. – Mynewshub.cc