Tergamak Bunuh, Simen Mayat Abang

BUNUH dan sembunyikan mayat dalam tong plastik air sebelum disimen.

Itu tindakan kejam seorang lelaki berusia 25 tahun yang berang hingga sanggup membunuh abang tirinya hanya kerana lelaki itu sering memakai baju dihadiahkan teman wanitanya.

Mayat mangsa, Mohd Hasnul Nizar Khairul Anuar, 34, ditemui disimen dalam tong air berkenaan di tepi rumahnya di Kampung Padang Hassan, Kepala Batas di sini, kira-kira jam 7 pagi semalam.

Kejadian itu hanya terbongkar selepas adik mangsa yang tidak sedap hati dan kemungkinan menyesal dengan perbuatan kejamnya itu memaklumkan tragedi berkenaan kepada seorang lagi abangnya yang kemudian membuat laporan polis.

Pada hari kejadian kira-kira jam 7 malam Jumaat lalu, mangsa dimarahi adiknya itu kerana sering memakai baju dihadiahkan teman wanitanya.

Teguran terbabit mencetuskan pergaduhan sebelum mangsa mengambil pisau di dapur dan menyerang adiknya itu.

Ketika kejadian, hanya mangsa dan adiknya berada di rumah manakala ibu mereka ke Melaka kerana menziarahi seorang lagi anaknya.

Dalam pergelutan itu, pisau digunakan terkena leher mangsa hingga menyebabkan kematiannya.

Menyedari kematian mangsa, adiknya bertindak membungkus mayat mangsa dengan plastik dan memasukkan ke dalam tong air di luar rumah.

Keesokan adik mangsa membancuh simen dan mencurahkannya ke dalam tong berisi mayat mangsa.

Namun pada awal pagi semalam, adik mangsa berasa menyesal sebelum memaklumkan perbuatannya kepada seorang abangnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan baju yang diberi teman wanita adik lelakinya sering dipakai mangsa menyebabkan berlaku perselisihan faham dan pergaduhan di antara mereka.

“Namun, siasatan (lanjut) masih dijalankan,” katanya memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mengulas lanjut, Sapii berkata, suspek yang tidak sedap hati selepas membunuh abang tirinya itu kemudian memaklumkan insiden berkenaan kepada seorang lagi abangnya.

“Berikutan itu, abang mangsa menghubungi polis memaklumkan kejadian berkenaan.

“Susulan itu, anggota kami menahan suspek di rumah itu sebelum menemui tong (air) berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sapii berkata, siasatan awal juga mendapati mangsa dipercayai dibunuh, petang Jumaat lalu.

Katanya, pihaknya merampas pelbagai barangan termasuk pisau dan kereta sorong yang digunakan dalam kes pembunuhan itu.

“Mangsa tidak bekerja, manakala suspek pula bekerja sebagai penjual ayam goreng,” katanya.

Tambahnya, tong yang mengandungi mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, untuk tindakan lanjut. – myMetro Online