Terengganu Siasat ‘Kekalutan’ Penjualan Tiket

KUALA NERUS – Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menerusi awatankuasa pengurusan tiket akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kekalutan pengagihan…

KUALA NERUS – Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menerusi awatankuasa pengurusan tiket akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kekalutan pengagihan tiket untuk final Piala Malaysia antara Terengganu FC 1 (TFC 1) menentang Perak di Stadium Shah Alam Sabtu ini.

Timbalan Presidennya, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan, ini termasuk bagaimana sebahagian daripada 2,000 keping tiket dikatakan sudah diperoleh malam tadi yang sepatutnya dijual di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah hari ini.

“Justeru itu kita minta jawatankuasa pengurusan tiket siasat juga apa yang berlaku. Kalau perlu dibawa kepada pihak polis, kita akan minta polis siasat,” tegasnya kepada pemberita.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini hari ini setelah meraikan pemergian skuad TFC 1 ke Kuala Lumpur.

Beliau juga menarik perhatian pendekatan baharu, melalui pengagihan tiket ke setiap daerah tidak dapat mengatasi masalah penyokong yang bersesak untuk mendapatkan tiket sebagaimana yang berlaku di sini hari ini.

“Kita akan minta jawatankuasa pengurusan tiket ini buat laporan bagi meneliti keberkesanan kaedah dan teknik-tekniknya, kita akan perhalusi balik lepas ini dan kalau tak sesuai, kita akan buat kaedah agihan secara berpusat atau satu pusat jualan tiket pada masa depan,” katanya.

Beliau menjelaskan daripada 30,000 keping untuk penyokong di negeri ini, kira-kira 7,500 keping diagih kepada persatuan-persatuan bola sepak di tujuh daerah di negeri ini manakala 2,000 keping dijual di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Selebihnya, kata beliau, diberikan kepada kelab penyokong, pertubuhan belia, kelab sukan, akademi bola sepak, bekas-bekas pemain bola sepak negeri serta pasukan bola sepak sedia ada,tidak terkecuali pelbagai agensi dan syarikat milik kerajaan (GLC).

Beliau menegaskan, tidak wujud campur tangan politik dalam pengurusan bola sepak di Terengganu termasuk dalam isu agihan tiket final Piala Malaysia.

“Kita tak ambik sikap main politik dalam pengurusan bola sepak Terengganu, kita tak tengok sama ada biru, hijau atau oren (bendera parti). Apa yang kita fokus adalah hitam dan putih (bendera Terengganu),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Loading...