Terdapat 13 Kluster Baharu COVID-19 Direkodkan

PUTRAJAYA – Ada 13 kluster baharu jangkitan COVID-19, jumlah tertinggi sejak penularan wabak itu, awal Januari tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat ini, Kementerian Kesihatan mengesan sebanyak 561 kluster jangkitan COVID-19 di negara ini.

Katanya, lapan daripada kluster baharu yang dilaporkan hari ini membabitkan saringan di tempat kerja. 

Beliau berkata, kluster baharu yang dilaporkan ialah Kluster Dataran Utas; Kluster Casa Permai; Kluster Media Jasa; Kluster Tasik Utama; Kluster Firma; Kluster Persiaran Teknologi; Kluster Bersepadu; Kluster Jalan Padu; Kluster Kampung Pitas; Kluster Ikan Emas; Kluster Kayuh; Kluster Jalan Seputeh dan Kluster Anak Air.

“Jumlah kluster yang sudah tamat pula sebanyak 309 kluster, termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini, iaitu Kluster Kobena, Kluster Mengketil dan Kluster UD SS2. 

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau sebanyak 252 kluster dan daripada jumlah itu, sebanyak 62 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini. 

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi ialah Kluster Seri Lanang (504 kes), Kluster Bukit Pasir (283 kes) dan Kluster Teratai (85 kes),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini. – BH Online

AKAN MENYUSUL