Terbiasa Kehidupan Privasi, Elfira Loy Sukar Temui Cinta

PELAKON Elfira Loy atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Binti Ahmad Sabri, 22, mengakui sukar menemui jejaka yang mampu menambat hatinya kerana sudah biasa dengan kehidupan privasi sejak kecil.

Tambah Elfira, masa sehariannya lebih banyak dihabiskan bersama ahli keluarga berbanding bergaul dengan rakan sebaya atau rakan artis yang lain.

“Sejak kecil lagi saya sudah biasa dengan kehidupan yang privasi dan memang jarang berkenalan dengan lelaki. Saya juga tidak mempunyai lesen memandu jadi saya akan ditemani ahli keluarga jika mahu ke sesuatu tempat.

“Jika ada masa lapang, saya akan habiskan masa bersama ahli keluarga. Saya juga jarang bergaul dengan rakan sebaya atau artis yang lain,” akuinya.

Menjawab persoalan tentang hubungannya dengan Baim Wong, Elfira berkata jika benar mereka mempunyai hubungan istimewa, mereka pasti sudah melangkah ke fasa seterusnya dalam perhubungan.

“Kalau betul saya dan Baim bercinta, mesti sekarang kami sudah ke fasa seterusnya. Tetapi tiada apa-apa terjadi setakat ini. Kami masih berhubung walaupun jarang berjumpa. Dia juga rapat dengan ibu saya,” katanya kepada mStar Online.

Walaupun sibuk menguruskan peniagaan, Elfira menegaskan bahawa dia tidak akan meninggalkan bidang seni namun bersikap selektif terhadap tawaran yang diterima. – MYNEWSHUB.CC

Loading...