Teori Shahrom Tak Tepat, Ada Yang Super Impose

SHAH ALAM – Teori bekas pakar forensik, Prof. Shahrom Abdul Wahid mengenai pengiraan daya yang diperlukan untuk mencederakan dada kanan Allahyarhan Muhammad Adib Mohd. Kassim didakwa tidak tepat.

Menyangkal pandangan itu, Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ahmad Hafizam Hasmi berkata, bukan sahaja daya pada van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang sedang mengundur dikenalpasti malah beratnya juga perlu diambilkira.

Dalam kes ini, katanya, berat EMRS yang kosong adalah 1,800 kilogram (newtown), hasil pengiraan termasuk daya yang mengundur kenderaan itu kenderaan itu mampu menolak Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim sehingga jatuh tersembam mengenai bahu jalan, malah kemudiannya mematahkan tiga tulang rusuk di dada kanannya.

“Pengiraan yang diutarakan Shahrom tidak tepat. Dalam kes ini kenderaan EMRS tersebut sedang megundur, pintu kiri hadapan terbuka dan mengenai belakang kiri mangsa.

“Berat van EMRS (yang kosong) 1,800kg perlu diambil kira. Dikira dengan daya mengundur bersamaan 8300 Newton melebihi yang dicadangkan (3,300 newton) untuk menghasilkan kepatahan pada tulang rusuk,” katanya kepada Mahkamah Koroner bagi inkues kes Allahyarham Muhammad Adib dalam rusuhan di kuil Seafield di sini, hari ini.

Beliau juga dalam masa yang sama menegaskan, satu bentuk segi tiga yang dikatakan Shahrom berada pada daun pintu tidak wujud.

Ianya menurut saksi ke-24, hasil penelitiannya terhadap daun pintu kenderaan bomba pada 12 April yang lalu.

Malah beliau mendakwa segi tiga yang ditunjukkan dalam mahkamah sebelum ini itu hanya terhasil akibat super impose dan sengaja diada-adakan.

“Struktur segi tiga adalah super impose. Tiada bentuk nyata.

“Lebam di lengan Adib berbentuk segi tiga, Prof. Shahrom cadangkan lebam itu berbentuk segi tiga berpadanan dengan struktur di pintu kiri.

“Sedangkan daripada pemeriksaan tidak ada langsung kesan segi tiga pada struktur spesifik di pintu kiri malah ia adalah struktur lekukan,” ujarnya.

Hafizam juga selain itu menjelaskan kepada mahkamah yang lakonan semula yang dibuat oleh Shahrom yang merupakan bekas pakar Forensik Hospital Univerisiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) tidak tepat.

Menurutnya, apa yang ditunjukkan oleh saksi yang dirujuk oleh peguam mewakili keluarga Adib, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) seperti yang seharusnya berlaku khususnya tentang hentakan daun pintu pada dada bomba itu.

Seharusnya kecederaan yang terhasil tambah Hafizam bukan sekadar pada dada, malah abdomen deman dan bahagian belakangnya juga.

Hafizam kembali memberi keterangan pada prosiding inkues hari ini selepas pasukan Pegawai Pengendali kes membuat permohonan ke peringkat Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Ini kerana teori yang diutarakan oleh Shahrom bercanggah dengan pakar forensik yang bertanggungjawab menjalankan bedah siasat kepada Adib pada 18 Disember 2018.

Hafizam akan menyambung keterangannya pada Selasa minggu hadapan dan dijangka berlanjutan sehingga Jumaat. – MalaysiaGazette

Loading...