Tentukan Tarikh Tetap Untuk Bubar Parlimen, DUN

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Parlimen perlu menentukan tarikh atau tempoh tetap untuk hari pilihan raya dilaksanakan atau pembubaran Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) diisytiharkan.

Itu antara inisiatif digariskan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 untuk reformasi sistem perundangan dan pilihan raya negara.

Kajian mengenai penentuan tarikh pilihan raya dan pembubaran Parlimen serta DUN itu perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun bermula bulan ini hingga Disember 2020.

Apabila tarikh ditetapkan, sebarang pembubaran DUN atau Parlimen lebih awal daripada tarikh berkenaan perlu mendapat kelulusan kedua-dua institusi itu.

SPR juga perlu mengkaji kewajaran pelaksanaan sistem pilihan raya elektronik, selain memperinci dan menentukan semula jumlah perbelanjaan pilihan raya yang dibenarkan bagi setiap kawasan.

NACP juga mahu SPR memasukkan kesalahan penggunaan aset dan jentera kerajaan untuk mempromosi calon dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

SPR juga perlu bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengkaji dan memperkasakan Bahagian III (Perbuatan Rasuah) dalam Akta 5.

SPR dan Parlimen juga perlu menubuhkan jawatankuasa pilihan dwi parti membabitkan keahlian dan sumber kewangan SPR, pelaksanaan persempadanan dan perkara lain mengenai pilihan raya yang menyentuh kepentingan awam serta negara. – BH Online

Loading...