Tentera Turki Bantu 310,000 Rakyat Syria Pulang

KUALA LUMPUR – Operasi ketenteraan Turki di sempadan negara itu dengan Syria merupakan sebahagian daripada pendekatan kemanusiaannya yang setakat ini menyaksikan lebih 310,000 rakyat Syria berjaya kembali ke tanah air mereka, kata Dr. Merve Safa Kavakci.

Duta Turki ke Malaysia itu berkata memandangkan lebih 3.6 juta “tetamu” atau orang yang tersingkir di Turki kebanyakannya berasal dari Syria, ia menjadi sebahagian daripada tanggungjawab Turki untuk mewujudkan kelestarian dan memastikan terdapat satu laluan yang selamat untuk mereka pulang.

“Isunya bukan sekadar menjadi tuan rumah kerana mereka adalah tetamu anda… sebaliknya anda perlu menyediakan kemudahan pendidikan, keselamatan dan penjagaan kesihatan kepada mereka sama seperti yang anda lakukan untuk rakyat anda selain memastikan agar semua tetamu ini, yang tidak sabar untuk kembali ke tanah air mereka, mempunyai tempat untuk pulang,” kata beliau dalam satu ceramah pada Isnin.

Katanya, mewujudkan kelestarian dan bukan kebergantungan adalah makna sebenar pendekatan kemanusiaan.

Turki menjalankan 2 operasi rentas sempadan yang dikenali sebagai Euphrates Shield dan Olive Branch untuk membersihkan kawasan terbabit daripada organisasi pengganas seperti YPG dan IS.

Ceramah itu, yang bertajuk “Paradigm Shift in Foreign Policy: Humanitarian Approach” merupakan sebahagian daripada Dialog Global Fakulti Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ia mengetengahkan perspektif Turki dalam menangani isu kemanusiaan antarabangsa yang mencerminkan krisis kemanusiaan kompleks yang didepani dunia hari ini dan memaksa kerajaan memikirkan semula pendekatan dalam memenuhi keperluan kemanusiaan.

Acara itu dirasmikan Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan dihadiri lebih 300 orang.

Dialog Global AHIBS merupakan satu inisiatif selaras dengan Pelan Global UTM 2012-2020 yang direka untuk memperkukuh kedudukan universiti itu sebagai sebuah institusi pendidikan global serta terkemuka dan sebelum ini menampilkan Duta Hungary, Denmark serta Gambia selain Pesuruhjaya Tinggi Pakistan.

Kavakci berkata dasar luar Turki dalam pendekatan kemanusiaan, yang bermula pada tahun 2000-an, memboleh kerajaan negara itu bukan sekadar menjaga kebajikan rakyatnya malah menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dengan kesedaran “setiap nyawa adalah berharga.”

Bagaimanapun, duta itu berkata pendekatan kemanusiaan Turki adalah proses yang berterusan dan ia bukanlah satu tugas yang mudah.

“EU (Kesatuan Eropah) berjanji untuk menghulurkan bantuan sebanyak 3 campur 3 bilion Euro namun janji itu belum ditunaikan sepenuhnya. Hanya sejumlah 1.75 bilion Euro diserahkan. Bakinya tidak kunjung tiba. UNHCR (Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) memberikan sejumlah US$750 juta. Turki pula mengeluarkan belanja sebanyak US$35 bilion,” kata duta itu.

Kavakci berkata menurut laporan Bantuan Kemanusiaan Global, Turki adalah penyumbang terbesar dengan jumlah US$8 bilion pada tahun lepas diikuti ekonomi terbesar dunia Amerika Syarikat (US$6.68 bilion) dan Jerman (US$2.98 bilion).

“Satu nyawa di Kuala Lumpur adalah sama harganya dengan 1 nyawa di Madrid atau Turki. Adalah penting untuk anda mengiktiraf dunia adalah lebih penting berbanding kuasa yang 5 (5 anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu Amerika Syarikat, China, Britain, Rusia dan Perancis).

“Semua negara adalah berharga dan semua masalah perlu diberi perhatian,” kata beliau sambil menamatkan ceramahnya. – BERNAMA

Loading...