Tentera Israel Bunuh Suspek Serangan Di Tebing Barat

BAITULMAQDIS – Tentera Israel menembak mati rakyat Palestin yang disyaki menembak tujuh penduduk Israel termasuk seorang wanita mengandung yang bayinya kemudian meninggal dunia.

Perkhidmatan keselamatan Shin Bet dalam satu kenyataan berkata, suspek dikenali sebagai Salah Omar Barghouti, 29, ditembak mati ketika cuba melarikan diri dalam serbuan di sebuah perkampungan di Tebing Barat.

Kenyataan itu tidak mengatakan Barghouti adalah suspek bersenjata atau berkumpulan, sebaliknya kenyataan itu hanya menyebut beberapa yang suspek yang ditahan tanpa mendedahkan jumlah sebenar.

Kenyataan Shin Bet diumumkan beberapa jam selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berikrar membawa ke muka pengadilan penyerang yang menaiki kenderaan melepaskan tembakan di kawasan penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Netanyahu mengeluarkan kenyataan tidak lama selepas hospital Baitulmaqdis mengesahkan kematian bayi lelaki yang cuba diselamatkan melalui pembedahan selepas ibunya yang mengandung 30 minggu, ditembak.

“Kami kehilangan seorang bayi beberapa jam yang lalu, berusia empat hari. Kita akan menjejak pembunuh dan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.

Bayi yang baru lahir itu dikebumikan di kawasan Gunung Olives Baitulmaqdis, berdepan dengan dinding Kota Lama. – AFP/BH ONLINE

Loading...