Tentera Firaun Pun Ramai, Kata Tuan Ibrahim

35

KUALA LUMPUR – “Bala tentera Firaun lebih ramai dari Nabi Musa dan pengikutnya,” kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Justeru, katanya, dakwaan penentang Himpunan 355 di ibu negara semalam bahawa tidak ramai menyertai perhimpunan itu dianggap tidak relevan.

Tegasnya, hukum Allah S.W.T tetap wajib dilaksanakan bukan kerana ramai yang menyokong, tetapi kerana ia adalah perintah Allah.

“Sejak semalam ramai yang meneka berapa jumlah kehadiran peserta Himpunan 355.

“Tak perlu bergaduh dengan jumlah kerana ratusan ribu atau jutaaan lagi penyokong yang tidak dapat hadir, begitu juga yang menentang.

“Kebenaran bukan kerana ramai yang sokong, kerana bala tentera Firaun lebih ramai dari Nabi Musa dan pengikutnya. Demikian Nabi Nuh berbanding penentangnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, Tuan Ibrahim berkata, angka cuma gambaran lahiriah, namun iman menuntut keyakinan walau seorang diri.

“Kebenaran perlu diajak dan kebatilan perlu ditentang walau seorang diri. Teruskan tabah, sabar dan istiqamah mempertahankan syariat Allah,” katanya.

PAS mengadakan Himpunan 355 di ibu negara semalam bagi menunjukkan sokongan umat Islam ke atas cadangan meminda Akta 355 bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah.


Usaha PAS itu dikecam gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan yang dibarisi DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).

Pakatan Harapan mendakwa usul itu merupakan strategi halus PAS untuk melaksanakan hudud yang menindas, zalim, kuno dan bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

Berikutan itu, beberapa pemimpin Pakatan Harapan mengadakan ceramah di seluruh negara meminta rakyat menolak pindaan Akta 355 dan turut dibantu netizen pro-Pakatan Harapan.

Malah, Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin turut mengecam cadangan meminda Akta 355 di Facebook beliau dengan mendakwa hukum hudud dipermainkan oleh PAS untuk kepentingan politik.

Sehubungan itu, PAS mengadakan Himpunan 355 di ibu negara yang disertai puluhan ribu peserta bagi menunjukkan sokongan umat Islam ke atas usaha berkenaan. – MYNEWSHUB.CC